AHLI DAFTAR TERUS PAS MULA TERIMA SIJIL DAN KAD KEAHLIAN



AHLI DAFTAR TERUS PAS MULA TERIMA SIJIL DAN KAD KEAHLIAN

Alhamdulillah, selepas PRU15 yang lalu, apabila Naib Presiden PAS YB Ustaz Idris Ahmad, Ahli Parlimen Bagan Serai mewar-warkan nombor telefon saya dan Khairulfahmi Matsom, kami mula menerima pertanyaan untuk menyertai PAS.

Tidak kurang juga yang mengambil peluang untuk bertanya tentang status ahli, ada juga yang mahu menyertai ARC dan Jabatan Amal malah ada yang bertanya di mana boleh dapatkan t-shirt PAS.

Dengan bantuan kakitangan pejabat Agung PAS, permohonan kira-kira 1,000 orang diproses dan untuk memudahkan proses pengurusan, saya mewujudkan beberapa group whatsapp untuk kumpulkan ahli-ahli baharu supaya mereka mudah untuk mendapatkan perkembangan proses keahlian mereka.

Kelulusan bagi permohonan ahli dibuat sebulan sekali. Bulan lalu pada 4 Disember dan bulan ini pada 15 Januari. Bulan hadapan mungkin akan diluluskan pada 11 Februari, bergantung kepada tarikh Mesyuarat Jawatankuasa Kerja PAS Pusat

Sebahagian daripada permohonan baharu telah diluluskan dan sebahagian daripada mereka telahpun menerima sijil dan kad. Saya berkongsi kegembiraan mereka yang telah menerimanya di sini dan juga kesedihan mereka yang masih belum menerima sijil dan kad keahlian.

Kepada yang telah pun menerima sijil dan kad, saya ucapkan tahniah dan kepada yang masih belum terima, saya harap mereka dapat bersabar.

Ada yang tidak sabar untuk menerima sijil dan kad ahli kerana mahu buktikan mereka telahpun menyertai PAS. Saya memahami perasaan mereka, usaha untuk merealisasikan hasrat itu akan dipertingkatkan, kami akan cuba sebaiknya.

Kempen PAS PILIHANKU 4.0 akan diteruskan pada tahun ini. Gelombang HIJAU yang disebut-sebut di dalam medsos sangat dirasai. Anak muda khususnya golongan First Time Voters menjadi sasaran utama kempen pada tahun ini.

Sekian.

Khairul Faizi bin Ahmad Kamil
Pengarah Kempen PAS PILIHANKU 4.0
16 Januari 2023

Ulasan