BENCANA BANJIR : BILIK GERAKAN INFO BENCANA KHIDMAT MALAYSIA DIAKTIFKAN SEMULA



BENCANA BANJIR : BILIK GERAKAN INFO BENCANA KHIDMAT MALAYSIA DIAKTIFKAN SEMULA

1. Pusat Pengurusan Kecemasan dan Bencana Malaysia (Khidmat Malaysia) mengaktifkan semula Pusat Operasi atau Bilik Gerakan Info Bencana (BGIB) Pusat yang telah ditutup pada 15 Januari yang lalu apabila keadaan bencana banjir yang sedang meningkat naik dan melanda beberapa buah negeri.

2. Sehingga pukul 10.00 pagi ini. BGIB telah menerima laporan bahawa negeri Johor, Sabah, Pahang dan Sarawak telah dilanda banjir. Melalui laporan media dan Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (InfoBencanaJKM) sehingga pukul 10 pagi ini, seramai 5,315 orang mangsa melibatkan 1,461 keluarga ditempatkan di 55 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di tujuh Daerah di seluruh negeri Johor.

3. Melalui laporan media, jumlah mangsa banjir di Sabah pula melonjak ke 6,313 orang daripada 2,187 keluarga yang dipindahkan ke 26 PPS di lima daerah, iaitu Paitan, Pitas, Kota Marudu, Kudat dan Lahad Datu.

4. Di negeri Pahang, seramai 286 mangsa daripada 84 keluarga berada di empat PPS di Rompin yang mana,122 mangsa berada di PPS Balai Raya Rekoh, 117 mangsa pula di PPS Kampung Setajam, 40 mangsa pula di Balai Raya Bukit Lepas manakala tujuh mangsa pula di Balai Raya Bandar Perwira Jaya. Di Sarawak pula, dua PPS telah dibuka yang melibatkan 56 orang mangsa dari 17 keluarga.

5. Dengan perkembangan yang berlaku ini, Khidmat Malaysia telah mengaktifkan semula BGIB pada hari ini untuk memantau perkembangan yang berlaku di seluruh negara khususnya yang melibatkan negeri Johor dan Sabah. Sebarang maklumat berkaitan bencana banjir boleh disalurkan ke Hotline Khidmat Malaysia di talian 011-14174789.

6. Sumbangan juga boleh disalurkan ke akaun KHIDMAT MALAYSIA (Maybank: 5623 8454 2866) untuk membantu mangsa bencana banjir yang terlibat.
Sekian, wassalam.

KHAIRUL FAIZI BIN AHMAD KAMIL, KMN
Ketua Pengarah Khidmat Malaysia
26 Januari 2023

Ulasan