BN Sabah tarik diri dari kerajaan Sabah




KOTA KINABALU: UMNO dan Barisan Nasional (BN) Sabah hari ini menamatkan kerjasama membentuk kerajaan negeri Sabah yang dimeterai sejak Pilihan Raya Negeri (PRN) pada September 2020.

Ia berikutan pengumuman dibuat Pengerusi BN Sabah yang juga Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin malam ini berhubung keputusan pihaknya untuk menarik diri daripada kerjasama itu.

Beliau berkata keputusan sebulat suara pemimpin UMNO Sabah itu selepas mengambil kira tindakan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor memecat Pengarah Pilihan Raya BN Sabah, Datuk Seri Salleh Said Keruak sebagai Pengerusi Qhazanah Sabah dan mengugut dengan mengumumkan rombakan Kabinet negeri.

Katanya, Hajiji sudah melanggar persefahaman yang dibuat di antara BN dengan Perikatan Nasional (PN) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) yang dibuat ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) pada September 2020.




"Persefahaman politik itu antara lain menyebut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN / UMNO akan memberi sokongan dan kepercayaan kepada Hajiji untuk dilantik sebagai Ketua Menteri selagi pelantikan Jemaah Menteri serta lantikan pengerusi syarikat milik kerajaan negeri daripada BN / UMNO seperti termaktub dalam perjanjian persefahaman politik dihormati.

"Hari ini Ketua Menteri mengeluarkan surat penamatan kepada Salleh selaku Pengerusi Qhazanah Sabah dan mengugut kita mengenai rombakan Kabinet tanpa berbincang dengan kita.

"Jadi kami sebulat suara membawa UMNO dan BN Sabah menarik diri daripada kerajaan negeri dan sokongan terhadap Hajiji.

"Kami sudah hilang kepercayaan dan selepas Hajiji keluar daripada BERSATU, kami bincang dengan beberapa peguam yang memaklumkan bahawa Hajiji hilang 'locus standi' dan tiada layak menjadi Ketua Menteri," katanya pada sidang media malam ini.

Bung Moktar mendakwa pihaknya bertindak selepas melihat Perlembagaan Negeri dan mengambil tindakan balas apabila Hajiji melanggar perjanjian yang dimeterai sebelum ini.

Mengenai sama ada BN dan UMNO akan membentuk kerjasama dengan parti lain termasuk Parti Warisan (WARISAN) untuk membentuk kerajaan baharu, Bung Moktar berkata perkara itu belum dipastikan dan mengambil sikap tunggu dan lihat.

Sementara itu, Bung Moktar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lamag dan Ahli Parlimen Kinabatangan berkata, ketika ini UMNO Sabah mempunyai 18 ADUN termasuk Datuk Mohamaddin Ketapi (Segama) yang baru menyertai parti itu.




Bagaimanapun, katanya lima ADUN UMNO tidak menyokong keputusan dibuat pihaknya dan bakal berdepan tindakan.

Berikutan tindakan ADUN UMNO itu, kerajaan negeri pimpinan Hajiji masih mempunyai 42 kerusi daripada 79 kerusi keseluruhan termasuk enam kerusi ADUN Dilantik.

Sementara itu, Bung Moktar mendakwa Hajiji bukan lagi ketua parti politik bagi maksud Fasal 6(7) Perlembagaan Negeri Sabah apabila beliau mengisytiharkan keluar daripada BERSATU iaitu pihak di dalam perjanjian persefahaman politik.

"Dengan penarikan sokongan kepercayaan ini juga, Hajiji hilang majoriti di dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah dan tidak berkelayakan untuk dilantik ke jawatan Ketua Menteri.

"Justeru, bersesuaian dengan kehendak Fasal 6(3) Perlembagaan Negeri Sabah dibaca bersama Fasal 6(7) Perlembagaan Negeri Sabah, BN / UMNO akan menyembah maklum kepada Yang di-Pertua Negeri Sabah untuk melaksanakan fungsi selaku Ketua Negeri dengan menyemak pelantikan Hajiji sebagai Ketua Menteri Sabah," katanya.



Ulasan