Istana Seri Kinabalu akan panggil ADUN GRS untuk tahu sokongan



KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) diminta menyatakan pendirian mengenai siapa yang disokong mereka untuk menjadi Ketua Menteri Sabah berikutan kemelut politik yang berlaku ketika ini.

Difahamkan, Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor turut mengemukakan akuan bersumpah (SD) sokongan terhadapnya ketika pertemuan dengan Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin di Istana Seri Kinabalu, petang tadi.

Sumber berkata, pihak Istana Seri Kinabalu juga akan memanggil semua ADUN bagi menyatakan pendirian masing-masing di hadapan Juhar.

"Langkah ini bagi mengetahui sama ada sokongan yang diterima Hajiji yang dibawa ke Istana Seri Kinabalu sama dengan pengakuan yang dibuat sendiri ADUN terbabit di hadapan Juhar nanti," katanya di sini hari ini.

Semalam, Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin menggesa Hajiji meletakkan jawatan atas dakwaan sudah kehilangan sokongan majoriti, selain UMNO menarik sokongan terhadap kerajaan negeri.

Selain itu, Presiden Parti Warisan Sabah (WARISAN), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal turut sama mendesak Hajiji meletakkan jawatan kerana beranggapan beliau sudah hilang kelayakan kerana tidak berparti.

Bagaimanapun, penyokong Hajiji menyangkal dakwaan itu dan menyatakan kedua-dua pemimpin parti terbabit tidak memahami undang-undang.


Ulasan