KHIDMAT MALAYSIA TUTUP PUSAT OPERASI BENCANA SELURUH NEGARA



KHIDMAT MALAYSIA TUTUP PUSAT OPERASI BENCANA SELURUH NEGARA

1. Pusat Pengurusan Kecemasan dan Bencana Malaysia (Khidmat Malaysia) yang telah beroperasi sejak 15 Disember yang lalu akan menutup segala operasi bencana Khidmat Malaysia pada 15 Januari ini.

2. Pusat Operasi atau Bilik Gerakan Info Bencana (BGIB) Pusat telah menguruskan pelbagai situasi bencana sepanjang tempoh sebulan ianya beroperasi seperti bencana tanah runtuh di Batang Kali, Selangor, Banjir Monsun timur laut di Kelantan dan Terengganu dan juga bencana ombak besar yang melanda Kampung Forest di Sandakan, Sabah.

3. Penutupan ini dibuat setelah melihat perkembangan semasa yang menunjukkan keadaan telah pun beransur pulih. Di samping itu, laporan yang diterima daripada pengurusan Khidmat Malaysia di negeri-negeri terbabit juga menyatakan kesemua mangsa terutamanya di negeri Kelantan dan Terengganu yang berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) telah pulang ke rumah masing-masing dan mula menjalankan aktiviti harian mereka seperti biasa. Justeru berdasarkan Prosedur Operasi Standard Khidmat Malaysia, keadaan seperti ini merupakan perkembangan yang positif dan sesuai untuk menghentikan Operasi Bencana.

4. Sepanjang operasi bencana ini, Khidmat Malaysia telah menggerakkan operasi bantuan seperti makanan, minuman dan pakaian serta peralatan rumah seperti tilam, dapur dan tikar hasil daripada sumbangan pelbagai pihak termasuk sektor korporat, NGO dan orang persendirian kepada mangsa banjir di negeri-negeri yang terlibat. Agihan ini telah dijalankan secara menyeluruh terutamanya pemberian bakul makanan supaya tidak ada satu keluarga pun yang terlepas daripada menerima kit yang berupa beras, gula, tepung serta barang-barang makanan asas lainnya.

5. Khidmat Malaysia juga turut mengaktifkan sejumlah besar kumpulan 'clean and clear' (CNC) yang terdiri daripada petugas Khidmat Malaysia dari seluruh pelosok negara bagi melicinkan operasi mencuci dan membersihkan kediaman penduduk yang terkesan akibat banjir yang melanda tempat mereka. Sepanjang tempoh operasi ini juga, pihak kami menerima sumbangan wang ringgit daripada para penyumbang dari seluruh negara yang mana telah digunakan untuk kegunaan operasi dan sumbangan kepada mangsa.

6. Bagi mengurangkan beban sebahagian mangsa yang kebanyakannya hilang hampir seluruh barangan dan perabot di rumah mereka, Khidmat Malaysia bertungkus lumus menghidupkan stesen Dapur Rakyat yang berfungsi menyediakan makanan tengahari dan malam sehingga mencecah 1000 pek makanan sehari bagi setiap stesen. Alhamdulillah, ia sedikit sebanyak memberi nafas kelegaan penduduk tempatan untuk mendapatkan makanan yang berkhasiat sepanjang tempoh mempersiapkan kelengkapan asas rumah.

7. Mewakili Khidmat Malaysia, saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua yang terlibat terutamanya kepada Lajnah Kebajikan PAS, Lajnah Kesihatan PAS, Jabatan Amal Malaysia, Briged Muslimat dan barisan NGO yang turut bersama kami seperti Yayasan Amal Malaysia, Medicom Malaysia, PAPISMA, Muslim Care Malaysia, Syabab Care dan NGO-NGO lain yang turun membantu menjayakan operasi bencana banjir kali ini. Begitu juga kepada semua penyumbang tidak kira dalam kalangan orang persendirian mahupun kumpulan yang telah mengumpulkan barang sumbangan dan wang tunai dan diserahkan melalui penyelarasan Khidmat Malaysia.

8. Jutaan terima kasih juga diucapkan kepada agensi-agensi kerajaan terutamanya pihak Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Jabatan Kebajikan Masyarakat, BOMBA dan agensi-agensi lainnya yang banyak memberikan bantuan, berkongsi maklumat dan memberi ruang seluasnya kepada Khidmat Malaysia memberi khidmat kepada rakyat yang terjejas akibat bencana kali ini. Ini termasuklah Kerajaan-kerajaan Negeri terutamanya Negeri Kelantan dan Terengganu yang menjadikan Khidmat Malaysia sebagai rakan strategik kerajaan dalam menguruskan bantuan bencana. Tidak ketinggalan kepada Seluruh Pimpinan Masyarakat daripada Menteri Besar, Ahli-ahli Parlimen, ADUN-ADUN sehinggalah kepada Tok Penggawa, Penghulu dan Ketua Kampung.

Sekian, wassalam.

KHAIRUL FAIZI BIN AHMAD KAMIL
Ketua Pengarah Khidmat Malaysia
14 Januari 2023

Ulasan