Maszlee mohon maaf, malukan wanita dalam Kudeta




SHAH ALAM - Bekas Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik secara terbuka memohon maaf khususnya kepada golongan wanita susulan penggunaan perkataan yang tidak sepatutnya ketika melakonkan watak Perdana Menteri jahat dalam drama bersiri Kudeta.

Menurutnya, secara peribadi beliau mengakui kekhilafan dan kesilapan yang telah mengganggu kesejahteraan emosi dan minda orang ramai.

"Saya Dr Maszlee bin Malik ingin membuat permohonan maaf secara terbuka kepada semua terutamanya kepada kaum wanita di mana jua kalian berada.

"Saya menyedari akan keberkesanan filem dan drama dalam menyampaikan mesej yang baik dalam masyarakat. Namun, ia tidaklah sampai menyinggung sensitiviti mahupun budaya.

"Saya juga berterima kasih yang tidak terhingga kepada semua pihak yang telah memberikan teguran, ingatan, nasihat sama ada secara peribadi mahupun umum. Moga ALLAH SWT ampunkan segala kesilapan saya dan himpunkan kita semua dalam kebaikan," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Drama bersiri Kudeta terbitan Astro menyaksikan Maszlee sebagai bekas Perdana Menteri yang dipenjarakan atas tuduhan jenayah yang dilakukan.

Terdapat babak di mana Maszlee menggunakan dialog yang kurang senang didengar menimbulkan kecaman di sosial media kerana menyifatkannya sebagai penghinaan kepada kaum wanita apatah lagi ia diungkapkan oleh beliau selaku figura terkenal yang berpendidikan tinggi.

Sehubungan itu, Maszlee berkata, beliau berharap pihak Astro dapat menapis babak tersebut demi menghormati sensitiviti ramai pihak.


Ulasan