PAS Kelantan yakin ulangi kejayaan PRU 1990

 



KOTA BHARU: PAS yakin mampu mengulangi sejarah 1990 apabila menang di semua kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) di negeri itu bersama Angkatan Perpaduan Ummah.

Naib Presiden PAS, Dato’ Mohd Amar Abdullah berkata, parti itu yakin boleh menang kesemua 45 kerusi Dun pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang dijangka diadakan tahun ini.

Katanya, keyakinan itu dengan mengambil kira prestasi cemerlang pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) bagi 14 kerusi parlimen.

“Target kita (PAS) jika diberi peluang kita nak menang kesemua 45 kerusi Dun di negeri ini. Keyakinan itu berdasarkan prestasi dicapai pada PRU15.

“Insya-Allah kita mengharapkan PAS dapat memenangi kerusi Dun sebagaimana yang disasarkan,” katanya yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan kepada pemberita selepas menyerahkan kunci rumah dhuafa’ Dun Pachor kepada seorang penduduk miskin di sini, hari ini. (Foto atas)

PRN penggal ke-15 bagi enam negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Kedah, Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang dijangka diadakan tidak lama lagi.

Mohd Amar mengingatkan Umno lebih berhati-hati bekerjasama dengan DAP kerana PAS ada pengalaman mengenainya.

“Jangan mengulangi kesilapan yang pernah dilalui PAS sebelum ini. Sebelum ini kita pernah bersama dengan DAP. Kini PAS tidak boleh lagi menerima parti terbabit,” ujarnya.

Pada PRU 1990, PAS melalui Angkatan memenangi kesemua 39 kerusi Dun dan 13 Parlimen di Kelantan. – HARAKAHDAILY 6/1/2023

Ulasan