PENDUDUK KAMPUNG FOREST PERLU DISANTUNI BERTERUSAN





PENDUDUK KAMPUNG FOREST PERLU DISANTUNI BERTERUSAN

Pusat Pengurusan Kecemasan dan Bencana Malaysia (Khidmat Malaysia) Pusat telah turun meninjau keadaan mangsa bencana ombak dan air pasang besar yang telah menimpa penduduk Kampung Forest di Sandakan yang telah menimpa perkampungan laut ini pada akhir tahun yang lalu.

Lebih 70 buah rumah yang dibina di atas air musnah akibat air pasang luar biasa dan ombak melanda perkampungan dan dianggarkan lebih 120 buah keluarga telah hilang tempat tinggal dan harta benda yang tidak sempat diselamatkan.

Sebahagian daripada mangsa telah membina rumah sementara di kawasan kampung dan manakala sebahagiannya telah ditempat di dua Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

Khidmat Malaysia negeri Sabah telah mengambil inisiatif untuk mewujudkan Dapur Rakyat di Dewan PPR Taman Harmoni sejak awal bulan ini bagi meringankan beban yang ditanggung mangsa air pasang besar khususnya dalam mendapatkan bekalan makanan panas.

Lawatan ini telah diketuai oleh Ketua Pengarah Khidmat Malaysia Pusat, Khairul Faizi bin Ahmad Kamil, Mohd Ashrul Hisyam Abdul Jalil (Setiausaha), Aafiffuddin bin Azhar (Bendahari) dan Pengarah Khidmat Malaysia negeri Sabah, Sahar Abdul Majid serta Jawatankuasa Penyelaras Khidmat Malaysia Sandakan.

Turut bersama dalam tinjauan ini adalah Haji Zulkifli bin Wahijan, Presiden Muslim Care Malaysia (MCM) serta ahli jawatankuasa MCM.

Khidmat Malaysia Pusat bersetuju untuk menyalurkan bantuan untuk menguruskan Dapur Rakyat dan Muslim Care akan membantu menyediakan 200 kotak air mineral untuk kegunaan mangsa banjir.

Ketua Pengarah Khidmat Malaysia mengharapkan agar kerajaan dapat memberikan tempoh perlanjutan kepada mangsa bencana yang difahamkan terpaksa keluar dari PPS pada hujung bulan Januari ini.

"Kerajaan perlu melanjutkan tempoh penempatan sementara untuk mangsa bencana. Mereka tidak ada rumah untuk didiami dan sudah tentu perlukan masa untuk menyelesaikan masalah ini"

"Saya fikir pihak Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dapat memikirkan untuk membantu menyediakan penempatan untuk mereka. Jika tidak, sudah tentu mangsa akan menghadapi kesukaran selepas ini" ujur beliau ketika ditemui selepas menyantuni mangsa bencana di PPR Taman Harmoni.

Khidmat Malaysia akan terus menyalurkan sumbangan kepada mangsa banjir khususnya melalui penyediaan Dapur Rakyat. Sebarang sumbangan boleh disalurkan ke akaun KHIDMAT MALAYSIA (Maybank: 5623 8454 2866) untuk membantu mangsa bencana yang terlibat.

Sekretariat Khidmat Malaysia Pusat
17 Januari 2023
"BERKHIDMAT UNTUK KEMANUSIAAN BERAMAL KERANA ALLAH"

Ulasan