PH masih pembangkang, belum wujud Kerajaan Perpaduan di Johor




JOHOR BAHRU - Tiada sebarang perbincangan antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) di Johor berhubung Kerajaan Perpaduan yang mahu diwujudkan di peringkat negeri selari dengan apa yang berlaku di peringkat Persekutuan.

Pengerusi PH Johor, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, PH masih lagi bertindak sebagai pembangkang di negeri ini.

Bagaimanapun, menurutnya, biarpun keadaan di peringkat negeri dan Persekutuan berbeza, namun hubungan antara PH dan BN negeri cukup baik atas semangat perpaduan.

“Ketika saya meninggalkan Dewan Undangan Negeri (DUN) sewaktu Menteri Besar (Datuk Onn Hafiz Ghazi) membuat penggulungan Bajet Johor pada Disember lalu, PH Johor masih duduk di barisan pembangkang.

"Hubungan juga sangat baik, cuma kita tidak dapat tentukan lagi bentuk kerjasama pada masa akan datang,” katanya ketika sidang akhbar selepas majlis kenduri kesyukuran Amanah Parlimen Pulai di sini pada malam Sabtu.

Salahuddin yang juga Ahli Parlimen Pulai dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simpang Jeram berkata, perbincangan masih dilakukan berhubung kaukus melibatkan 24 ahli Parlimen daripada BN dan PH Johor.

“Mengenai kaukus, perkara tersebut masih dalam perbincangan dan Ketua Pembangkang, Andrew Chen Kah Eng sedang lakukannya,” katanya.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Mac tahun lepas, BN mendapat kemenangan dua pertiga selepas memperoleh 40 daripada 56 kerusi DUN yang dipertandingkan.

PH pula memenangi 12 kerusi diikuti Perikatan Nasional (tiga) dan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) satu kerusi.


Ulasan