PM perlu kaji semula formula industri minyak, gas Kelantan



TERLEBIH dulu saya bagi pihak Metra ingin menyucapkan tahniah kepada Dato’ Seri yang telah diberi amanah sebagai PM yang ke-10 Malaysia.

Metra percaya di atas semangat dan.prinsip keadilan sebenar, Dato’ Seri boleh membawa halatuju baru kepada Malaysia dari segenap aspek terutama pengurusan ekonomi negara seterusnya membela golongan yang tertindas.

YAB Dato Seri,

Melalui kenyataan ini saya menggesa supaya Dato’ Seri selaku Perdana Menteri yang mengetuai Kerajaan Malaysia dan merangkap Pengerusi kepada Petronas iaitu pihak yang mengurus semua sumber gas dan minyak di pesisir pantai Kelantan yang telah bermula pada sekitar tahun 1988 membuka lembaran baru tahun 2023 dengan menilai semula kedudukan Kelantan dalam dua keadaan berikut:

1. Mengembalikan hak pendaratan gas di pantai Bachok Kelantan

Umum mengetahui bahawa sumber gas di pantai Kelantan telah dibawa ke selatan Thailand melalui paip untuk diproses di Songkla dan disambungkan ke negeri Kedah. Perkara ini amat merugikan negeri Kelantan dan telah menyekat potensi negeri dalam membangunkan indusrti gas di pantai Bachok. Rakyat Kelantan juga telah dinafikan untuk mengaut semua limpahan aktiviti industri ini (spill out effect).

Saya percaya perkara ini telah berlarutan lama tanpa penyelesaian yang memihak kepada rakyat Kelantan kerana semua formula yang dilaksanakan adalah berasaskan dendam dari perseteruan politik sempit pada masa tersebut dan Dato’ Seri perlu berlapang dada dengan pilihan rakyat serta tidak perlu menyambung niat songsang ini.

Saya percaya Petronas mempunyai pelbagai pilihan untuk membuat realignment dan reengineering dalam komponen pengeluaran untuk memastikan kerajaan negeri diberi sumber tenaga bagi keperluan indusri dan rakyat Kelantan mendapat manfaat terbanyak dalam perkara ini atas asas bahawa sumber gas adalah dari Pantai Kelantan. Perkara ini juga selaras dengan penyiapan semua infrastruktur utama seperti lebuh raya, pelabuhan, airport antarabangsa, ECRL dan lain yang bakal menjadi enjin penggalak (boster engine) kepada potensi pengembangan industri di Pantai Timur Semenanjung.

2. Memberi hak pengurusan telaga minyak di pantai Kelantan kepada kerajaan negeri

Semua telaga minyak di pantai Kelantan sememangmya diurus oleh Petronas sejak sekian lama. Malangnya bayaran royalti telah tertunggak sebanyak lebih daripada RM20 bilion gagal dibayar sehingga detik.ini

Metra percaya, dalam keadaan kedudukan industri semasa dunia dan rekod pengeluaran industri dari Petronas serta kedudukan kewangan negara semasa yang terus menyusut, maka pelbagai alasan boleh diberikan untuk menafikan hak kerajaan negeri dan rakyat untuk mendapat bayaran royalti ini.

Justeru, Metra merasakan bahawa sudah tiba masanya Dato’ Seri perlu mempertimbangkan untuk memberikan kerajaan negeri hak mengurus sendiri bagi semua atau sebahagian dari telaga minyak dari pantai Kelantan ini sebagai solusi segera dari kemelut bayaran royalti yang tidak berkesudahan sekian lama.

Saya percaya kerajaan negeri mempunyai tenaga pakar untuk mengurus keperluan ini dan perlu membuat persediaan ke arah itu.

Pihak Petronas boleh dirunding untuk menjadi penasihat bagi memulakan industri ini supaya kerajaan negeri dan rakyat Kelantan akan mendapat manfaat terus dan cepat tanpa menunggu polemik royalti yang panjang tanpa kesudahan.

Ir Ariffahmi Ab Rahman

Metra sangat berharap di atas prinsip keadilan sejagat yang menjadi jiwa dan roh baru bagi tatakelola pentadbiran Dato’ Seri selaku Perdana Menteri Malaysia yang ke-10, cadangan ini perlu dipertimbangkan untuk menemui solusi segera dan manfaat berpanjangan bagi kerajaan dan rakyat Negeri Kelantan.

Metra juga berdoa supaya Dato’ Seri sentiasa dilimpahi dengan hidayah dan berkah yang berpanjangan serta diberi maunah dalam melayari bahtera kuasa seterusnya membawa Malaysia yang lebih adil dan gemilang.

IR ARIFFAHMI AB RAHMAN
Pengerusi,
Malaysian Executive and Technocrat Alliance (Metra)
2 Januari 2023 – HARAKAHDAILY 2/1/2023

Ulasan