TGHH ULAS TENTANG MAKSUD MADANI





Saya mengulas sebuah tajuk yang menjadi perbincangan panas beberapa hari ini iaitu ucapan yang disampaikan berkait dengan satu tema, ‘Membangun Negara Madani: Visi dan Kerangka Reformasi’.

Perkataan madani yang berasal daripada bahasa al-Quran hendaklah diterjemahkan dengan makna yang sahih secara beramanah dengan ilmu Islam, sumber ilmu yang wajib dipelihara, disampaikan dan diamalkan mengikut perintah Allah SWT.

Syeikh Abul Hasan ‘Ali al-Nadwi RH pernah menegaskan konsep Negara Hidayah, bukan Negara Jibayah. Negara Hidayah dengan maksud sebuah negara yang mengikuti jalan yang lurus. Manakala Negara Jibayah pula membawa maksud negara yang berpandukan kepada asas materialistik semata-mata.

Al-Farabi RH juga pernah memperkenalkan istilah Al-Madinah al-Fadilah yang dikatakan sebagai reaksi kepada falsafah Aristotle daripada karyanya, ‘The Republic’.

Dalam pada itu, Al-Farabi juga menegaskan bahawa dalam usaha melakukan perubahan untuk menjadi negara berkonsep madani tidak boleh dijayakan dengan gejala rasuah, salah laku, salah urus, zalim, pengabaian integriti dan lain-lain.

Ibn Khaldun RH pula memperkenalkan perkataan madani dalam ilmu politik dan kemasyarakatan melalui kitabnya yang terkenal, al-Muqaddimah. Telah dijelaskan dalam karya tersebut, beliau menyatakan bahawa manusia itu secara tabiinya bersifat madani.

Rasulullah SAW telah menukar nama tempat hijrah daripada Yathrib atau Taibah kepada perkataan Madinah supaya menjadi panduan bagi menegakkan sebuah masyarakat madani.

Rasulullah SAW berhijrah serta menghimpunkan kedua-dua bentuk umat, iaitu umat Islam dan umat manusia yang hidup bermasyarakat majmuk di Madinah. Lalu suasana sedemikian diuruskan dengan pelaksanaan Islam yang sempurna.

Konsep madani yang sebenar telah berjaya dilaksanakan oleh Rasulullah SAW berpandukan nas dan ijtihad, berkonsepkan siasah syar‘iyyah dan maqasid al-syari‘ah dari aspek tadbir urus dalam menangani realiti yang sentiasa mengalami perubahan.

Oleh itu, acuan madani yang tidak berasaskan acuan Allah SWT dan Rasulullah SAW pasti akan menuju kegagalan yang sama sepertimana tamadun sebelumnya dan tamadun moden yang sedang membakar dirinya sekarang.

Umat Islam tidak boleh terpengaruh dengan konsep Civil Society yang dibawa oleh mereka yang tidak beriman seperti Thomas Paine, John Locke, Jean-Jacques Rousseau, Montesquieu, Adam Smith, Karl Marx dan lain-lain.

Inilah pesanan yang telah saya titipkan ketika Meet & Greet Halaqah Darul Iman di Dewan Besar, Wisma Darul Iman petang tadi. Mudah-mudahan, kita dapat menegakkan sebuah negeri dan negara yang mengikut acuan Allah SWT di Terengganu ini khususnya dan bumi Malaysia, insya-Allah.

Ulasan