Tiga suspek dera kanak-kanak hingga mati didakwa pada Khamis



JOHOR BAHRU - Tiga suspek termasuk kakak kandung kanak-kanak lelaki berusia empat tahun yang maut dipercayai didera di Senggarang akan didakwa di Mahkamah Majistret Batu Pahat, pagi Khamis.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, polis sudah mendapat arahan daripada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk mendakwa ketiga-tiga suspek berkenaan.

"Tiga suspek termasuk kakak kandung kanak-kanak empat tahun yang didera sehingga maut di Senggarang, Batu Pahat, pada minggu lalu, akan dituduh esok.

"Manakala dua lagi suspek akan menjadi saksi pendakwaan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di Markas Pasukan Polis Marin Wilayah Dua, di sini, pada Rabu.

Sabtu lalu, Mahkamah Majistret Batu Pahat dilaporkan, melanjutkan tempoh perintah reman lima suspek kes dera kanak-kanak empat tahun di Senggarang, bermula Ahad sehingga Sabtu ini.

Pada 26 Disember lalu, seorang kanak-kanak lelaki dilaporkan meninggal dunia ketika dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Sultan Ismail (HSI), selepas pengsan di sebuah rumah di Senggarang.

Kamarul Zaman dilaporkan mengesahkan punca kematian kanak-kanak malang itu akibat hentakan objek keras dan tumpul.

Kes ini disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001, namun polis mengklasifikasikan semula kes ini akibat kematian mangsa iaitu di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.


Ulasan