AMEERAH Malaysia mengutuk intimidasi politik yang telah dilakukan ke atas tiga orang Tiktoker wanita muda rentetan video kritikan terhadap pemimpin kerajaan. Gambar dan maklumat peribadi tiga wanita muda ini dikongsi secara malafide telah mengundang buli siber bersifat gangguan seksual malah sehingga ke tahap ugutan bunuh. Budaya ini adalah jauh bertentangan dengan slogan reformasi yang dilaungkan Perdana Menteri Dato’ Sri Anwar Ibrahim sekian lama.
Tindakan kerajaan yang bertentangan dengan prinsip tatakelola yang baik seperti mana dilaungkan selama ini tidak dapat lagi disembunyikan. Laungan melawan kleptokrasi berakhir dengan melantik tertuduh kleptokrat sebagai orang nombor dua negara. Sekian lama mengkritik jawatan Perdana Menteri memegang portfolio kewangan, namun itulah yang dilakukan kini. Laungan menentang nepotisme akhirnya dikoyak rabak dengan pelantikan anak sendiri sebagai Penasihat Perdana Menteri.
Anak muda memerhati dan peduli. Kritikan dan kerisauan rakyat khususnya generasi muda tidak seharusnya dibakul sampah dengan frasa ‘fitnah’ demi menjustifikasi intimidasi politik bertujuan mendiamkan kritikan.
Kebebasan bersuara pasca PRU15 kelihatan terhad dan cuba disekat. Sikap tidak terbuka pemimpin Kerajaan dengan kritikan pembangkang begitu ketara sehingga pendekatan Perdana Menteri pernah ditegur pasukan Peguam.
Intimidasi politik melarat ke peringkat bawah apabila kelompok penyokong PH terus menerus melakukan buli siber di media sosial terutama kepada golongan wanita Terkini Tiktokers wanita PN menjadi mangsa buli ekstrem mereka.
Ameerah Malaysia mengecam tekanan yang dilakukan ke atas mereka bagi tujuan mengugut dan menakutkan pihak yang membangkang kerajaan. Pembulian siber dengan mendedahkan butiran peribadi seterusnya mengundang komen-komen lucah, jijik, hina fizikal tidak boleh dibiarkan menjadi budaya baru masyarakat yang mahu mencapai negara Madani.
Ameerah Malaysia menuntut Menteri Komunikasi dan Digital agar tidak bersikap ‘double standard’ dan hanya fokus mengawal pengaruh PN di Tiktok, namun tiada tindakan serius diambil bagi menghentikan budaya buli siber terhadap wanita di media sosial sama ada Twitter, Facebook, Tiktok dan mana-mana platform media sosial.
Ameerah Malaysia juga menyeru semua pihak yang komited memperjuangkan hak wanita untuk bersatu merentas ideologi dengan menzahirkan penolakan secara terbuka terhadap intimidasi politik yang dilakukan sehingga menutup kebebasan bersuara yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan. Sesungguhnya buli siber boleh berlaku kepada ahli keluarga anda juga mahupun insan yang tersayang jika budaya ini tidak dihentikan sekarang.
Sebagai tanda solidariti dan signal penolakan terhadap intimidasi politik ke atas wanita muda, Ameerah Malaysia telah membuat laporan polis pada hari ini ke atas pemilik-pemilik akaun yang mendedahkan maklumat peribadi secara malafide. Laporan polis akan dibuat oleh Ameerah seluruh negara.
YB DR SITI MASTURA MUHAMMAD
Ketua Pengarah Ameerah Malaysia
Ahli Parlimen Kepala Batas – HARAKAHDAILY 12/2/2023
Ulasan
Catat Ulasan