Anwar perlu ingat skandal 1MDB


KUALA LUMPUR: Walaupun yakin dengan integriti dan kesungguhan Perdana Menteri untuk membanteras rasuah, seorang Ahli Parlimen kerajaan mengingatkan Dato’ Seri Anwar Ibrahim mengenai kesan buruk pemusatan kuasa pada seorang individu.

Hassan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang) berkata, skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) perlu menjadi peringatan kepada Anwar mengenai risiko apabila seorang Perdana Menteri turut memegang jawatan Menteri Kewangan.

“Saya tidak ada malafide atau niat tak baik, hanya untuk mengingatkan kuasa cenderung menyebabkan korupsi. ‘Asolute power corrupt absolutely’. Kuasa itu mesti digunakan dengan cermat, jangan terburu-buru.

“Saya tidak mahu berlaku lagi peristiwa 1MDB apabila Perdana Menteri ketika itu juga menjadi Menteri Kewangan. Kita lihat apa kesannya sekarang,” katanya ketika membahaskan usul Titah Diraja di sidang Dewan Rakyat, hari ini.

Dalam ucapan yang jauh berbeza berbanding penyokong kerajaan lain, Hassan mengingatkan Perdana Menteri supaya tidak terlalu gopoh dan agresif menggunakan kuasanya membanteras rasuah, kerana berisiko melakukan pendakwaan terpilih yang menjadikan parti lawan sebagai mangsa.

Sehubungan itu, beliau melahirkan kebimbangan selepas melihat seorang demi seorang Ahli Parlimen dan pembangkang serta bekas pemimpin yang dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) serta pihak berkuasa lain, serta ada yang dihadapkan ke mahkamah.

“Hari ini, Yang Berhormat (YB) Tasek Gelugor diheret ke mahkamah di bawah pertuduhan rasuah. Beberapa hari lalu, YB Pagoh disiasat SPRM dan mantan Menteri Kewangan sewaktu Perdana Menteri keempat juga disiasat berkaitan Pandora Papers.

“Saya tiada masalah jika dari segi perundangan kerana ini proses biasa dan agensi siasatan seperti SPRM memanggil kalau ada perkara berkaitan, tapi saya perlu nyatakan kita perlu berhati hati.

“Sekarang kita boleh panggil semua menteri, mantan menteri kerana kita ada kuasa. SPRM, polis di bawah kita. Saya bimbang jika tak diberi peringatan, boleh berlaku pendakwaan terpilih, parti lawan kita jadi mangsa,” katanya. – HARAKAHDAILY 21/2/23

Ulasan