Dendam politik terhadap penjawat awam Melayu?



PENDIRIAN Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, P. Ramasamy berkenaan penjawat awam yang didominasi kaum Melayu sememangnya mencetuskan pergeseran kaum yang terus berpanjangan. Sikap rasis pemimpin DAP itu mencerminkan wajah sebenar perjuangan parti itu sejak sekian lama.

Saya tidak menolak kenyataan P. Ramasamy itu juga lahir daripada dendam politik berikutan kekalahan DAP atau PH di kerusi-kerusi majoriti Melayu tempoh hari termasuk juga dalam kalangan penjawat awam. Negeri Kelantan, Kedah, Terengganu dan Perlis membuktikan kesedaran rakyat khususnya orang Melayu menolak DAP secara khusus dan PH umumnya. Malah, tempiasnya turut dirasai sehingga ke negeri-negeri Pantai Barat.

Kenyataan Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang tiada asas yang kukuh untuk diutarakan. Jika sekalipun isu mereformasi pentadbiran awam berhak untuk dibangkitkan, ia bukan daripada dorongan kaum tertentu. Bagaimana kepincangan pemikiran sebegini dibiarkan berleluasa?

Mengapa P. Ramasamy tidak mengkritik amalan nepotisme parti sekutunya dalam kerajaan yang lebih jelas kelihatan di hadapan matanya. Budaya nepotisme dalam normal baharu Kerajaan gabungan ini lebih parah daripada yang dijangka, bahkan menghakis kepercayaan awam terhadap pentadbiran Kerajaan semasa.

Malangnya DAP lebih berminat mempertikai kedudukan orang Melayu dalam penjawat awam atas nama reformasi tersebut. Lebih malang pula kenyataan provokasi sedemikian dianggap sebagai suatu ‘pandangan peribadi’.

Sekiranya keadaan sebegini berterusan, ia boleh mengoyak keutuhan sosial yang terbina sejak sekian lama. Jelas sekali gabungan PH dan BN gagal mengawal kerenah DAP yang lebih berkuasa di dalamnya. Tidak mustahil satu demi satu wajah sebenar mereka akan terbongkar.

Sekian, terima kasih.

YB USTAZ DATO’ AHMAD YAHAYA
Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat
21 Rejab 1444 Hijri | 12 Februari 2023 Miladi – HARAKAHDAILY 12/2/2023

Ulasan