Kartel: MyCC berjaya selesai siasatan terbesar pada 2022




KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) melalui agensinya Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) telah dan sedang aktif menyiasat kartel-kartel sejak penguatkuasaan Akta Persaingan 2010 (Akta 712) pada 1 Januari 2012.

Menurut KPDN, hasil dari penyiasatan yang telah selesai, MyCC, sebagai badan separa kehakiman, telah mengeluarkan keputusan-keputusan pelanggaran dan seterusnya mengenakan hukuman penalti kewangan ke atas hampir 100 syarikat yang berjumlah sekitar RM156 juta.

Katanya, pada Ogos 2022, MyCC telah berjaya menyelesaikan penyiasatan terbesar mereka dan mengeluarkan keputusan cadangan terhadap lima syarikat pengeluar makanan ayam kerana didapati melanggar Seksyen 4 Akta 712 melalui satu perjanjian antipersaingan atau kartel dalam pasaran makanan ayam.

Menurutnya lagi, mereka adalah Dinding Poultry Development Centre Sdn Bhd, FFM Berhad, Gold Coin Feedmill (Malaysia) Sdn Bhd, Leong Hup Feedmill Malaysia Sdn Bhd dan PK Agro-Industrial Products (M) Sdn Bhd.

MyCC telah memulakan penyiasatan setelah menerima maklumat bahawa ada di kalangan pemain-pemain industri ternakan ayam terlibat dalam satu kartel.

Kesemua syarikat di atas, seperti yang dikehendaki oleh Akta 712, telah mengemukakan representasi bertulis mereka pada 31 Januari 2023 dan MyCC telah menjadualkan sesi pendengaran representasi mereka dalam bulan Mac 2023.

“Selepas itu, MyCC dijangka mengeluarkan keputusan akhir dalam suku ketiga tahun ini,” ujarnya dalam jawapan bertulis kepada soalan Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang [PN-Marang] yang meminta Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup menyatakan sejauh mana usaha kementerian telah dilakukan untuk menghapuskan kartel dan memastikan bekalan bahan mentah mencukupi bagi menangani kos sara hidup rakyat yang meningkat.

Tambahnya, MyCC juga telah menjadikan penyiasatan kartel tipuan bida yang melibatkan perolehan kerajaan sebaagai keutamaan aktiviti penyiasatan dan penguatkuasaannya.

“Setakat ini, MyCC sedang aktif menyiasat lebih dari 500 syarikat atas dakwaan terlibat dalam kartel tipan bida berkaitan perolehan kerajaan. Nilai yang terlibat adalah lebih dari RM2 billion,” katanya.

Katanya lagi, perolehan-perolehan kerajaan yang menjadi fokus penyiasatan MyCC sekarang adalah sektor perkhidmatan, makanan, pembinaan dan pembekalan.

Selain itu, MyCC telah menjadikan sektor makanan dan pertanian sebagai fokus utama penguatkuasaan Akta 712.

“MyCC akan bertindak tegas, without fear or favour, terhadap mana-mana perusahaan dalam sektor di atas terutama bahan makanan jika mereka terlibat dalam kartel,” ujarnya.

Penalti kewangan yang boleh dikenakan adalah sehingga 10 peratus dari pusing ganti dunia (worldwide turnover) perusahaan tersebut dan mereka boleh disenaraihitamkan jika kartel mereka berkait dengan perolehan kerajaan. – HARAKAHDAILY 23/2/2023

Ulasan