Mahkamah tolak petisyen BN, sahkan kemenangan PAS di Kemaman



KUALA TERENGGANU: Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu di sini, hari ini menolak petisyen pilihan raya yang difailkan calon Barisan Nasional (BN) bagi membatalkan kemenangan Che Alias Abd Hamid daripada PAS pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.

Hakim Datuk Mohamad Abazafree Mohd Abbas menolak petisyen yang difailkan calon BN, Dato’ Seri Ahmad Said dan memerintahkannya membayar kos perundangan RM30,000 kepada Che Alias selaku responden.

Setiausaha Lajnah Undang-undang dan Hak Asasi PAS Pusat, Ahmad Lutfi Awang berkata, hakim bersetuju fakta-fakta yang diplidkan untuk menyokong dakwaan sogokan dan rasuah pilihan raya yang terkandung dalam petisyen sebagai cacat, defektif dan tidak sah.

“Ini kerana daripada tujuh program rasmi yang dianjurkan oleh Kerajaan Negeri Terengganu iaitu Bantuan i-Belia, i-Siswa dan Sumbangan kepada OKU dan Asnaf tidak mengandungi butiran rasuah atau sogokan.

“Tiada butiran berkenaan ejen responden, tiada maklumat penerima, tiada fakta yang menunjukkan penerima adalah juga pengundi berdaftar, tiada butiran ucapan YB Exco yang boleh dianggap menyumbang kepada perlakuan rasuah atau sogokan,” jelas beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Ahmad Lutfi, menurut mahkamah, memandangkan dakwaan sogokan atau rasuah adalah bersifat ‘quasi-criminal’ (separa jenayah), maka adalah penting bagi pempetisyen memplidkan butiran fakta yang lengkap, terperinci dan sempurna agar responden diberikan keadilan yang seluas-luasnya.

“Kecacatan petisyen pempetisyen dalam membekalkan fakta-fakta berkenaan, tidak boleh dikompromikan dan memastikan keadilan dalam perbicaraan. Justeru petisyen tidak wajar dibenarkan melalui proses perbicaraan dalam keadaan pempetisyen sendiri samar dengan dakwaan sogokon atau rasuah pilihan raya.

“Atas asas itu mahkamah memutuskan bahawa petisyen ini adalah cacat, defektif dan tidak sah.

“Sehubungan dengan itu mahkamah menggunakan kuasanya di bawah Seksyen 36 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 bagi mengistiharkan bahawa pemilihan responden selaku Ahli Parlimen bagi P.040 Kemaman adalah sah,” kata Ahmad Lutfi.

Walau bagaimanapun, pempetisyen mempunyai peluang dalam masa 14 hari dari tarikh keputusan itu untuk merayu terus ke Mahkamah Persekutuan.

Che Alias Abd Hamid selaku responden diwakili peguam Saifuddin Othman, Wan Rohimi Wan Daud dan Mohd Nasir Embong.

Untuk rekod, pada PRU15 lalu, Che Alias yang bertanding atas tiket PAS, menang dengan majoriti 27,179 undi dalam pertandingan empat penjuru.

Che Alias mendapat undi sebanyak 65,714 menewaskan Ahmad Said yang mendapat undi sebanyak 38,535, dua lagi calon yang bertanding di parlimen berkenaan, Rosli Ab Ghani (Pejuang) dan Hasuni Sudin (PH) masing-masing mendapat undi sebanyak 506 dan 8,340 undi. – TRDI.my

Ulasan