Melihat ‘madani’ dalam pembangunan pendidikan di Kelantan




PENDIDIKAN adalah bidang yang sangat diberi keutamaan tinggi oleh politik pemerintahan Kerajaan Negeri Kelantan. Hampir 10 peratus daripada Belanjawan Tahunan Negeri akan diperuntukkan untuk pendidikan.
Ketika Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri-negeri lain semakin mengurangkan perbelanjaan kepada pendidikan berbanding sejak Merdeka dahulu, Kelantan pula berusaha ke arah menambah.

Bahkan ketika semua pihak yang lain terfokus atau teruja dan berlumba-lumba kepada kemajuan material atau fizikal, Kelantan pula konsisten melaksanakan pelbagai usaha pembangunan insan.

Sejak tahun 1965 lagi ketika Kelantan berada di bawah pemerintahan PAS yang dipimpin Menteri Besar, Almarhum Tan Sri Mohd Asri Muda, agenda pendidikan begitu diberikan perhatian oleh kerajaan negeri.

Begitulah apabila PAS kembali semula mengambil alih pentadbiran Kerajaan Negeri Kelantan pada tahun 1990, Almarhum Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat meletakkan pendidikan di martabat tertinggi.

Menteri Besar, Dato’ Ustaz Ahmad Yakob pernah berkata, kerajaan negeri menyedari hakikat bahawa kegagalan terhadap pendidikan dan ilmu akan menyebabkan usaha merealisasikan Kelantan ‘Membangun Bersama Islam’ sukar dicapai.

Benih yang ditanam ternyata tumbuh subur dan semakin bercambah serta dapat dipasarkan dengan meluas. Hasil pendidikan Kelantan bukan sahaja mewujudkan institusi, tetapi juga melahirkan ilmuwan pakar, tenaga pengajar dan pelajar berjaya.

Kini Kelantan memiliki Institusi Pengajian Tinggi (IPT) sendiri yakni Kolej Universiti Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS) dan Institut Bahasa Antarabangsa (IBA) sebagai pusat terjemahan bahasa Arab, Inggeris dan Mandarin.

Juga Institut Latihan Darul Naim (ILDAN) serta Pusat Latihan Dakwah dan Tahfiz yang mendukung sistem, di samping hampir 100 maahad atau sekolah beraliran agama, sains dan tahfiz, selain bakal ditambah vokasional dan teknikal.

Kecuali ILDAN selaku institusi tersendiri, semua lainnya berada di bawah tadbir urus Yayasan Islam Kelantan (YIK) dalam memastikan pendidikan berasaskan hidayah Allah S.W.T dengan mengembang ilmu wahyu dan sunnah dapat dicernakan kepada rakyat Serambi Makkah ini.

YIK selama lebih 30 tahun ini membuktikan bidang pendidikan di negeri ini berjaya dibangunkan secara berdikari biarpun dianaktirikan pihak Kerajaan Persekutuan terutama semasa pemerintahan Umno-BN.

Memadukan ilmu ukhrawi dan duniawi, pendidikan Kelantan jelas menumpukan pembinaan insan yang akan memenuhi matlamat hamba dan kekhalifahan sebagaimana tujuan kejadian manusia oleh Allah S.W.T.

Oleh itu, pendidikan Kelantan akan sentiasa menjadi contoh dan rujukan pelbagai pihak di mana memiliki kerangka jelas membangunkan bidang ini menerusi dokumen Dasar Pendidikan Rabbani Kelantan (DPRK).

Ianya terhasil dari usaha gigih yang panjang selama hampir 60 tahun para ilmuwan Islam dalam pendidikan di peringkat negeri, nasional dan Antarabangsa untuk menerbitkannya.

Hinggalah akhirnya, kolaborasi itu disempurnakan di bawah Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi Negeri, Dato’ Dr Mohamed Fadzli Dato’ Hassan.

Bahkan selama ini juga, Kelantan adalah negeri paling aktif menganjurkan atau menjadi tuan rumah kepada wacana, forum dan persidangan mengenai isu atau dunia dan cabaran serta masa depan pendidikan.

Tanpa ada sikap jumud, pendidikan Kelantan bukan sahaja dibangunkan secara lestari, tetapi telah dikembangkan selaras tuntutan dan cabaran dunia semasa yang mempengaruhi daya fikir dan budaya serta tuntutan kehidupan.

Selain itu, pendidikan Kelantan juga mempersiapkan pelajarnya ke arah memenuhi pasaran pekerjaan dan masa hadapan di mana wujud pelbagai program seperti keusahawanan dan pertanian di maahad, pondok dan tahfiz negeri ini.

Pendidikan Kelantan terbukti berjaya mencorakkan manusiawi mengikut ‘acuan Allah’, sungguhpun tidak terlepas dari cabaran sosial yang melanda umat masa kini, tetapi ia dapat dikawal dari pendidikan holistik ditawarkan negeri ini.

Paling membanggakan adalah kejayaan merekodkan pencapaian cemerlang dalam akademik dan ko-kurikulum di sebalik pengabaian terhadap negeri ini dan juga momokan kemiskinan atau kekurangan lain-lainnya.

Kelantan telah banyak tahun meletakkan nama di kedudukan terunggul peringkat kebangsaan dalam pencapaian terutama Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) biarpun ‘ditutup’ media.

Malah terbukti pendidikan Kelantan tidak menjadi satu teori apabila kerajaan negeri juga mewujudkan program Budaya Komuniti Rabbani atau K-Rabb sebagai kesinambungan DPRK.

Ia melibatkan pimpinan akar umbi di mana menjadi pelengkap kepada budaya kehidupan harian rakyat berpandukan ajaran Islam sekali gus juga menangani masalah atau cabaran kehidupan yang ada.

NAZMAN CHE IBERAHIM
Darulnaim Research Centre – HARAKAHDAILY 10/2/2023

Ulasan