Nepotisme sinonim kronisme, juga ‘kabel’


NEPOTISME itu menurut;

Kamus Merriam-Webster bermaksud kecenderungan terhadap orang atau kelompok yang mempunyai pertalian darah, kebiasaannya dalam melantik posisi pekerjaan.

Kamus Dewan Edisi Keempat, 2016 bermaksud perbuatan atau amalan yang mementingkan atau melebihkan sanak-saudara dan kawan-kawan sendiri sahaja

Satu kajian telah dibuat pada tahun 2020 bertajuk Pemaknaan Semula Sinonim Leksikal ‘Nepotisme’ menyatakan nepotisme bersinonim dengan ‘kronisme’.

Kronisme ialah amalan mengutamakan atau mementingkan teman rapat dalam pelantikan sesuatu jawatan, pemberian sesuatu projek dan sebagainya.

Kajian ini juga mendapati terdapat satu lagi pertambahan sinonim baru bagi nepotisme dan kronisme iaitu ‘kabel’ atau ‘cable‘.

Kabel menurut Kamus Dewan ialah tali yang tebal dan kuat yang diperbuat daripada sejumlah dawai yang dipintal.

Walau bagaimanapun, perubahan arus masa dalam linguistik telah meluaskan makna kabel atau ‘cable’ kepada bersinonim dengan nepotisme berdasarkan data korpus melalui media sosial.

Antara maksud lain kabel atau ‘cable’ yang banyak digunakan dalam masyarakat ialah menggunakan ‘orang dalam’ sebagai penghubung atau perantara untuk mendapatkan sesuatu contohnya dalam dunia pekerjaan.

Rasulullah S.A.W pernah mengingatkan dalam sabdanya yang bermaksud;

“Sesiapa yang bertanggungjawab melantik Muslim yang lain untuk sesuatu jawatan, tetapi dia melantik melalui cara kecintaan (favoritisme) terhadap seseorang itu, maka laknat Allah ke atasnya.”

(Riwayat Ahmad (21))

Sanad Hadis di atas adalah bersifat dhaif, namun pengajaran daripada Hadis tersebut selari dengan dalil al-Quran dan Hadis lain yang memerintahkan umat Islam agar berlaku adil dengan tidak melantik seseorang untuk sesuatu jawatan semata-mata atas hubungan keluarga dan bukan atas faktor kelayakan.

Tindakan demikian akan menutup peluang kepada yang lebih layak dan berkemampuan memegang jawatan tersebut mengikut kriteria yang sewajarnya. Selain itu, ia juga terdedah kepada amalan salah guna kuasa, penyelewengan demi kepentingan kelompok tertentu, dan mewujudkan imej kepimpinan yang tidak berintegriti.

Jelaslah, melantik seseorang untuk sesuatu jawatan atau autoriti kerana melebihkan kaum kerabat atau orang dekat tanpa adalah nepotisme atau kronisme mengikut makna dari sudut akademik.

YB HAJAH SALAMIAH MOHD NOR
Naib Ketua
Dewan Muslimat PAS Malaysia
Ahli Parlimen Temerloh – HARAKAHDAILY 1/2/2023

Ulasan