PRN: Insya Allah, PAS Terengganu pecah rekod


MARANG: PAS Terengganu optimis dapat mengekalkan kemenangan yang diperolehi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan diadakan nanti.

Setiausaha PAS negeri, Ustaz Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, ia berdasarkan kepada beberapa faktor menerusi keputusan PRU15 pada November lalu.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri menyatakan demikian semasa diwawancara di Rusila, baru-baru ini.

Berikut petikan jawapan beliau pada wawancara itu.

“Atas beberapa faktor tersebut, kita cukup yakin insya Allah, PRN yang akan datang ini Terengganu akan mengekalkan kemenangan dua kali berturut-turut, sekali gus memecahkan rekod.

“Ini kerana PAS Terengganu sebelum ini tidak pernah menang lebih sepenggal. Kita hanya menang sepenggal sahaja iaitu pada tahun 1959 hingga 1961, kemudian kita kalah. 40 tahun selepas itu, PAS menang semula pada tahun 1999 hingga 2004, kemudian PAS kalah lagi dan menang semula dalam tahun 2018 sehingga sekarang. Semua sepenggal.

“Kali ini kita yakin, insya-Allah PAS akan menang untuk penggal kedua berturut-turut.”

Apakah Pakatan Harapan di Terengganu turut memberi cabaran besar kepada PAS?

“Secara asasnya di Terengganu tradisi kerusi atau pertandingan hanya di antara PAS dengan Umno. Dari dahulu sehingga sekarang pertembungan hanya dilihat antara PAS dengan Umno sahaja. Selain daripada Umno kewujudan parti yang lain tidak memberi kesan yang besar.

“Pada PRU15, Pakatan Harapan di Kuala Terengganu hilang wang deposit. Begitu juga di Parlimen Marang dan semua kerusi Pakatan Harapan hilang wang deposit. Ini bermakna pertembungan sebenarnya hanya PAS dengan BN atau lebih tepat lagi dengan Umno. Jadi, kewujudan Pakatan Harapan, insya-Allah tidak menjadi satu cabaran yang besar kepada PAS Terengganu. Cuma Pakatan Harapan sekarang ada kelebihan iaitu mereka sebagai pemerintah atau kerajaan di peringkat Persekutan. Mungkin dengan kelebihan mereka sebagai kerajaan itu, menjadi tambah nilai mereka di Terengganu.

“Bagaimanapun, saya yakin tambah nilai itu tidak sangat memberi kesan kepada undi mereka dalam PRN akan datang, insya Allah.” – HARAKAHDAILY 9/2/2023

Wawancara penuh disiarkan dalam akhbar HARAKAH Bil. 2825 EDISI ISNIN ini.

Ulasan