PRN sesuai diadakan Julai atau Ogos




KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan mengambil kira pelbagai faktor dan isu berbangkit termasuk Ramadan dan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sebelum menetapkan tarikh Pilihan Raya Negeri (PRN).

Timbalan Menteri Besar Dato’ Mohd Amar Abdullah berkata, pada perbincangan awal ada cadangan diadakan PRN pada Mac, namun setelah mengambil kira faktor-faktor tertentu ia ditangguhkan.

“Perbincangan awal tiga negeri kita cadang adakan pada Mac sebelum Ramadan tetapi ada beberapa perkara dan isu berbangkit dan ia ditangguhkan.

“Ini kerana melibatkan Ramadan dan SPM memandangkan pilihan raya melibatkan penggunaan bangunan sekolah,” katanya ketika ditemui pemberita selepas mesyuarat Exco kerajaan di sini, hari ini.

Sehingga sekarang enam negeri belum mengadakan pilihan raya umum (PRU) ke-15 iaitu Kelantan, Terengganu, Kedah, Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang.

Mohd Amar yang juga Naib Presiden PAS berkata, masa yang dianggap munasabah kemungkinan kita akan adakan pilihan raya pada Jun memandangkan tempoh tamat penggal pun bulan berkenaan.

“Jadi kita jangka PRN akan diadakan kemungkinan pada Julai atau Ogos hadapan setelah mengambil kira beberapa perkara,” ujarnya.

Ditanya mengenai cadangan PRN diadakan serentak dengan negeri yang ditadbir Pakatan Harapan (PH) katanya, setakat ini belum ada perbincangan rasmi dengan negeri terbabit.

“Setakat ini kita tiada perbincangan dengan negeri yang ditadbir PH, namun ada cadangan Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari yang meminta supaya bubar pada Jun.

“Tetapi Kelantan belum memberi sebarang respon lagi terhadap perkara itu,” katanya.

Mohd Amar juga berkata, persiapan untuk menghadapi PRN dengan mengekalkan formula seperti mana PRU15 peringkat parlimen pada November lepas, namun
ia lebih fokus kepada DUN.

Mengenai calon kata beliau belum ada sebarang perbincangan, namun seperti biasa akan ada perubahan 30 peratus muka baru. – HARAKAHDAILY 8/2/2023

Ulasan