Rakyat Perancis bantah pembaharuan pencen Macron


PARIS: Bantahan di seluruh negara menjadi ujian penting terhadap kerajaan Presiden Emmanuel Macron dan juga penentangnya.

Penunjuk perasaan melancarkan bantahan baharu, semalam untuk menekan Macron supaya membatalkan pelan pembaharuan pencen, dengan ratusan ribu penduduk membanjiri jalan raya dan melancarkan mogok yang menjejaskan sistem pengangkutan dan sekolah.

Kesatuan buruh menyasarkan menggerakkan lebih sejuta penunjuk perasaan dalam usaha yang disifatkan oleh pemimpin veteran sayap kiri, Jean-Luc Melenchon, sebagai pemberontakan rakyat.

Kesatuan sekerja dan penggubal undang-undang berhaluan kiri yang berjuang di Parlimen menentang rancangan Macron, mengharapkan penunjuk perasaan untuk bertindak secara besar-besaran untuk mengukuhkan usaha mereka menggagalkan rang undang-undang yang akan menaikkan umur persaraan daripada 62 kepada 64 tahun.

Sementara itu, kerajaan bertekad meneruskan janji pilihan raya Macron untuk memperbaharui sistem pencen Perancis.

Perarakan pertama bermula pada waktu pagi di seluruh negara dengan beberapa ahli politik pembangkang terkemuka mengambil bahagian.

Ketika orang ramai berarak di bandar dan pekan, Melenchon meraikan hari bersejarah itu dan meramalkan kekalahan Macron. Di Paris, penunjuk perasaan mengibarkan bendera dan berkumpul beramai-ramai untuk mengadakan perarakan ketika tengah hari melalui ibu negara.

“Bukan selalu kita dapat melihat perarakan besar-besaran seperti ini,” kata Melenchon di Marseille, bandar selatan Perancis.

Bantahan itu menyebabkan berjuta-juta orang terpaksa mencari pengangkutan pilihan, bekerja dari rumah atau mengambil cuti untuk menjaga anak-anak berikutan pekerja di sektor pengangkutan dan pendidikan antara yang menyertai bantahan itu.

Pengendali kereta api, SNCF melaporkan gangguan besar dengan mogok menyebabkan kebanyakan kereta api di sekitar Paris, semua wilayah lain dan rangkaian kereta api berkelajuan tinggi utama Perancis yang menghubungkan bandar utama. – TRT WORLD


Ulasan