Tiga syarat kemenangan layak dapat pertolongan Allah



AHLI Gerakan Islam mesti memahami keperluan untuk melaksanakan dakwah ‘alamiah iaitu dakwah secara universal.

Perkara ini penting terutamanya dalam menghadapi realiti masyarakat majmuk yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama bagi menyampaikan Islam kepada seluruh manusia.

Sirah Nabi Muhammad SAW menjadi contoh terbaik dalam menjayakan agenda dakwah dan siasah dalam negara kita ini.

Rasulullah SAW meneroka kemenangan awal dalam bernegara bersama hijrah ke Madinah dengan menegakkan sebuah negara bermasyarakat majmuk. Bermula dengan perpaduan umat Islam dalam kalangan Muhajirin dan Ansar, kemudiannya disertakan perpaduan dalam kalangan bukan Islam, Ahli Kitab dan Musyrikin.

Allah SWT menjanjikan kemenangan buat para pejuang Islam dalam firmannya dalam al-Quran al-Karim:

﴿يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ ٱصۡبِرُواْ وَصَابِرُواْ وَرَابِطُواْ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَ لَعَلَّكُمۡ تُفۡلِحُونَ٢٠٠﴾

“Wahai orang-orang yang beriman! Bersabarlah kamu, kuatkanlah kesabaranmu, tetaplah bersiap siaga (melaksanakan tugas), dan bertaqwalah kepada Allah, supaya kamu mendapat kemenangan.” (Surah Ali ‘Imran: 200)

Kemenangan akan diperoleh apabila dilaksanakan segala syarat kemenangan yang melayakkan untuk mendapat pertolongan Allah SWT.

Syarat pertama, pembinaan kekuatan rohani (iman, akhlak dan ilmu secara tafaqquh). Kedua, pelaksanaan konsep berjemaah yang bercirikan Islam yang sempurna. Ketiga, persediaan kekuatan lahiriah mengikut kemampuan dengan ikhlas.

Kesemua syarat ini mestilah dipenuhi oleh setiap ahli gerakan Islam bagi mencapai kemenangan Islam di tanah air kita ini.

Bagi menjamin keutuhan, kefahaman dan ketahanan PAS, maka sangatlah penting peranan tarbiah dan ta‘lim secara tafaqquh fi al-din digerakkan supaya agenda islah dan tajdid berjaya dilaksanakan.

Islah dan tajdid itu berlaku dalam perjalanan dakwah dan politik Islam yang tidak boleh terpisah, di mana jemaahnya berpegang teguh kepada prinsip perjuangan, taat dan wala’ kepada parti berkonsepkan tafaqquh fi al-din. Firman Allah SWT:

﴿إِنَّ ٱللَّهَ يُحِبُّ ٱلَّذِينَ يُقَٰتِلُونَ فِي سَبِيلِهِۦ صَفّٗا كَأَنَّهُم بُنۡيَٰنٞ مَّرۡصُوصٞ٤﴾

“Sesungguhnya, Allah menyukai orang yang berjuang di jalan-Nya dalam saf yang teratur seakan-akan mereka seperti suatu bangunan yang tersusun kukuh.” (Surah al-Saff: 4)

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Liqa’ Fikri PAS Pusat
11 Februari 2023 – HARAKAHDAILY 11/2/2023

Ulasan