FENOMENA EL NINO : APAKAH PERSIAPAN KERAJAAN BAGI MENGHADAPI BENCANA INI



Minggu lalu, Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) berkata, Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) telah meramalkan bahawa negara kita akan berdepan dengan El Nino selama lima bulan bermula April. Laporan tersebut telah dikeluarkan beberapa hari lagi menjelangnya Aidilfitri yang disambut oleh umat Islam.

Ramalan tersebut telah dapat dilihat kesannya apabila terdapatnya kawasan-kawasan di Malaysia yang mencapai paras 35-37 darjah Celsius seperti di Kuala Terengganu, Jeli, Kuala Krai, Pasir Mas, Tanah Merah, Rompin dan Jempol sehingga memberikan kesan kepada masyarakat khususnya yang berkaitan dengan kesihatan dan bekalan air.

Melalui analisis dan pemodelan cuaca METMalaysia, fenomena El Nino yang melanda Malaysia selama beberapa bulan ini akan memberi impak negatif kepada negara ; akan berkurangnya kuantiti hujan yang sudah tentu akan menyebabkan cuaca panas, bekalan air berkurangan, paras air sungai merosot dan empangan menjadi kering.

Ia adalah sesuatu perkara yang sangat serius untuk diberikan perhatian oleh semua pihak khususya oleh pihak kerajaan yang terlibat secara langsung dalam memastikan bekalan air mencukupi.

Fenomena El Nino bukanlah perkara asing bagi masyarakat negara Malaysia dan kesannya yang pernah dialami dan dirasai sebelum ini tentulah sukar untuk dilupakan bukan sahaja kesannya kepada penduduk malah kesannya kepada negara.

Mengikut rekod, sehingga tahun 2015, El Nino pernah melanda Malaysia sebanyak 12 kali iaitu sejak tahun 1951 hingga 1952 dan kejadian kes yang paling teruk adalah pada tahun 1997 hingga 1998 apabila catatan suhu terlalu tinggi dengan suhu tertinggi 40.1 darjah Celsius direkodkan di Stesen Meteorologi Chuping, Perlis pada 9 April 1998.

RAMALAN BERLAKUNYA EL NINO

Kemungkinan akan berlakunya fenomena El Nino sebenarnya telah dibangkitkan pada awal tahun ini apabila Ketua Agensi Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik (BMKG), Dwikorita Karnawati telah membuat kenyataan bahawa akan ada kemungkinan berlakunya cuaca panas yang melampau ini namun ia telah mendapat reaksi daripada Ketua Pengarah MetMalaysia, Muhammad Helmi Abdullah yang memberikan gambaran masih terlalu awal untuk meramalkan kemungkinan berlaku fenomena El Nino, kekuatan serta kesannya kepada negara.

Pakar Klimatologi dan Felo Akademi Sains Malaysia (ASM), Dr Fredolin Tajudin Tangang dalam satu kenyataannya baru-baru ini menyatakan bahawa berkata keadaan ini berlaku terutamanya di kawasan pantai barat semenanjung dan Lembah Klang, di mana secara puratanya curahan hujan paling tinggi pada April dan Mei.

Beliau melahirkan rasa kebimbangan kerana bermula Jun ini, El Nino kuat diramal berlaku kerana pusat ramalan iklim APEC Climate Center di Busan, Korea meramalkan kebarangkalian El Nino akan berlaku bermula Jun adalah melebihi 90 peratus. Dengan mengambil kesan El Nino yang telah dialami sebelum ini, beliau berpendapat bahawa keadaan di Malaysia dan Indonesia akan menjadi lebih kering dan panas bermula Jun hingga Oktober.

MENGIMBAU KESAN EL NINO DI MALAYSIA SEBELUM INI

i. Faktor Kesihatan

Kesan kepada faktor kesihatan adalah disebabkan suhu yang lebih panas ketika El Nino boleh menyebabkan vektor nyamuk dapat hidup dan matang dengan lebih cepat serta memendekkan tempoh pengeraman virus. Selain denggi, penyakit lain seperti taun, untut dan malaria boleh merebak disebabkan peningkatan suhu.

Keduanya, ierebu yang menyebabkan pencemaran udara boleh mengundang penyakit berkaitan pernafasan seperti asma, radang paru-paru, sakit tekak, sakit mata, batuk dan selesema. Ketika jerebu teruk melanda di rantau ini pada tahun 1997- hingga 998, dilaporkan bahawa hampir 20 juta orang mengalami pernafasan teruk.

ii. Pencemaran udara

Pada tahun 1997 hingga 1998, cuaca panas dan kering yang melampau menyebabkan hampir 10 juta hektar hutan di Sumatera dan Kalimantan, Indonesia terbakar. Puluhan ribu rakyat negara itu terpaksa menerima rawatan dan beratus kematian dilaporkan, dipercayai berpunca daripada kemerosotan kualiti udara.

Kita masih tidak dapat melupakan bagaimana pada ketika itu, negara kita mengalami jerebu yang dahsyat sehingga terasa kita hidup di selubungi asap dengan bacaan indeks pencemaran udara (IPU) di sesetengah kawasan mencapai paras sangat berbahaya kerajaan terpaksa mengisytiharkan darurat.

iii. Krisis bekalan air

Apabila cuaca panas dan musim kering, sudah tentulah ianya memberikan kesan kepada bekalan air bersih kepada masyarakat. Kawasan tadahan air seperti empangan tasik dan kolam akan susut dan berkurangan akibat tiadanya hujan turun dan sejatan air yang tinggi.

Krisis bekalan air yang serius telah dirasai oleh semua pihak dan ketika El Nino melanda pada tahun 1997 hingga 1998, catuan air telah dibuat dan penduduk di Lembah Klang cukup terkesan dengan fenomena ini apabila kira-kira 1.8 juta orang terpaksa berdepan dengan catuan air selama tempoh enam bulan. Dilaporkan bahawa pada tahun 1998, sebanyak 4.2 juta pengguna di Lembah Klang terpaksa berkongsi 2,553 juta liter sehari.

TINDAKAN SEGERA KERAJAAN

Sudah tentulah, tindakan yang mesti dilakukan ketika ini adalah untuk memastikan sekiranya El Nino melanda negara, segala persediaan bagi menghadapinya telah disiapsiagakan. Pengalaman lampau yang tragis perlulah dielakkan ataupun sekurang-kurangnya diminimakan.

Perkara yang perlu diberikan perhatian adalah berkaitan dengan bekalan air yang sudah pastinya diberikan keutamaan kerana ia adalah sumber penting kepada setiap kehidupan sama ada manusia, haiwan malah tumbuhan. Tanpa air, sudah tentulah akan memberikan kesan kepada kehdupan manusia.

Antara langkah yang mesti dilakukan adalah pemantuan terhadap semua paras air sungai dan empangan yang membekalkan air mentah ke loji rawatan air (LRA). Dalam tempoh yang ada, penerokaan terhadap semua sumber air seperti bekalan air bawah tanah bagi meningkatkan ketersediaan bekalan air mentah ketika musim kemarau.

Keduanya, sebagai persiapan terhadap masyarakat, kempen penerangan dan kesedaran perlu digerakkan. Masyarakat Malaysia perlu didedahkan kesan yang mungkin boleh berlaku apabila El Nino melanda.

Sejarah pahit yang pernah dilalui sebelum ini perlu dihebahkan supaya persiapan awal dari sudut mental dan fizikal dapat dibuat. Walaupun mungkin kesan El Nino tidaklah seteruk yang pernah dialami sebelum ini tapi sebarang kemungkinan perlu dibuat persediaan.

Ketiganya, kerajaan perlu segera mempertingkatkan segala bentuk bantuan perubatan dan kecemasan seperti ubat-ubatan untuk mangsa dan alat bantuan memadam kebakaran sekiranya berlaku kebakaran.

PENUTUP

Khidmat Malaysia sebagai sebuah badan bukan kerajaan (NGO) dalam menangani bencana akan menggerakkan kempen kesedaran kepada masyarakat melalui sebaran risalah dan poster. Usaha ini diharapkan dapat dikolaborasi bersama agensi kerajaan seperti NADMA.

Khidmat Malaysia juga akan terus mempersiapkan anggota bagi menghadapi kemungkinan berlakunya bencana ini nanti mengikut kepakaran yang dimiliki oleh semua entiti Khidmat Malaysia.

Adalah penting segala usaha ini dapat dilaksanakan dengan tersusun, teliti dan secara berkala supaya kita semua dapat bersama-sama mengharungi kesan El Nino pada masa hadapan.

Sekian.

KHAIRUL FAIZI BIN AHMAD KAMIL
Ketua Pengarah Khidmat Malaysia
8 Syawal 1444 / 29 April 2023

Ulasan