KEBARANGKALIAN GEMPA BUMI DI MALAYSIA : SEMUA PIHAK PERLU BERWASPADA


 


Tiga hari yang lalu, pada awal pagi Selasa, beberapa kawasan di negeri-negeri Pantai Barat Semenanjung Malaysia merasai gegaran akibat gempa bumi kuat melanda Indonesia. Gegaran tersebut dirasai di Perak, Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.

Gempa bumi bermagnitud 7.0 melanda Selatan Sumatera, Indonesia manakala pusat gempa bumi tersebut terletak di koordinat 0.9 darjah selatan dan 98.3 darjah timur dengan kedalaman 49 kilometer (km) bersamaan 85km Barat Laut dari Siberut, Indonesia, mengikut laporan Jabatan Meteorologi (METMalaysia)

Pada 21 April, MetMalaysia telah melaporkan bahawa gempa bumi sederhana berukuran 5.9 pada skala Richter dikesan berlaku di Utara Laut Maluku, Indonesia pada jarak 161 km selatan dari Pulau Talaud, Indonesia dengan kedalaman 80km.

Pada 3 April pula, gegaran gempa bumi di Sumatera lewat malam turut dirasai di beberapa kawasan di negara seperti di Perak, Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor. Gempa bumi kuat bermagnitud 6.2 melanda Utara Sumatera, Indonesia. Pusat gempa bumi tersebut terletak 0.9° Utara dan 98.8° Timur dengan kedalaman 86 km bersamaan 84 km Barat Daya dari Padang Sidempuan iaitu kurang 500 km dari Kuala Lumpur.

Kekerapan berlakunya gempa bumi bukanlah perkara baharu di sekitar kepulauan Indonesia namun gegaran demi gegaran semakin dirasai oleh penduduk di negara ini yang sebelum ini dikatakan bebas dari ancaman gempa bumi.

Ditambah lagi, apabila pada 20 April yang lalu, satu gempa bumi lemah dilaporkan telah berlaku di Beluran pada jam 9.07 pagi pada kadar kekuatan magnitud 3.5. Jarak gempa itu dilaporkan berlaku pada 365 km Utara dari Tarakan, Indonesia dengan kedalaman 10 kilometer. Gegaran mungkin turut dirasai di Beluran dan sekitarnya. Walaupun tiada ancaman tsunami kepada Malaysia dan kadar bacaan magnitud yang lemah namun ianya berlaku dengan dengan perairan Sabah, Malaysia.

RAKYAT MALAYSIA SEMAKIN GUSAR

Kekerapan merasai gegaran gempa bumi dari negara jiran sebenarnya telah mula menimbulkan rasa gusar di kalangan penduduk tempatan. Tempias gegaran ini sudah mula mendapat perhatian, malah ianya mendapat respon daripada pelbagai pihak termasuk pakar kaji bumi.

Ketua Penyelidik Kumpulan Penyelidikan Kejuruteraan Seismologi dan Gempa Bumi, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Profesor Dr Ir Azlan Adnan telah memberikan ulasan dan amaran bahawa negara ini bakal dilanda gempa besar sehingga 7 magnitud susulan siri gempa bumi yang berlaku di Turki pada bulan Februari yang lalu.

Dr Azlan dalam kenyataannya menyatakan bahawa garis sesar besar plat bumi (subduction zone) yang bergerak secara pugak di Sumatera misalnya boleh menyebabkan gempa kuat sehingga 9.5 magnitud. Kawasan Semenanjung dijangkakan boleh berlaku gempa sehingga 6 magnitud sementara di Sabah boleh mencecah 7 magnitud.

Menurut beliau lagi, kejadian gempa bumi besar di Indonesia dan Filipina tidak menghasilkan pergerakan plat bumi yang signifikan untuk menghasilkan gempa bumi besar di Malaysia. Namun begitu, gempa bumi yang kuat dari Indonesia dan Filipina yang terletak berdekatan Sabah (misalnya di kawasan Laut Sulu atau Laut Sulawesi) boleh mencetuskan pergerakan bumi di Sabah yang mungkin akan menghasilkan gempa bumi besar.

Secara umumnya, kita dapat melihat bahawa kemungkinan akan berlakunya gempa bukan hanya di Sabah sahaja namun ianya juga boleh berlaku di negeri-negeri di Semenanjung. Sebagai contohnya, beberapa gempa bumi pernah dicatatkan berlaku seperti di sekitar Tasik Kenyir, Terengganu 2.6 skala Richter pada 10 Mac 2010, di Janda Baik, Pahang pada 5 Disember 2009 dan di Bukit Tinggi Pahang pada 5 Disember 2009.

LAHAT DATU BERPOTENSI DILANDA GEMPA BUMI

Ketika ini, Sabah menjadi fokus terhadap persiapan bencana gempa bumi berpandukan kepada beberapa kes yang pernah berlaku di sana. Kerisauan penduduk di Sabah cuba ditenangkan oleh Pengarah Jabatan Meteorologi Sarawak, Khairul Najib Ibrahim menyatakan bahawa Malaysia tidak dikategorikan sebagai negara yang terletak di kawasan lingkaran api pasifik bagi mengelakkan timbul rasa panik di kalangan penduduk. Namun hakikatnya, kesiapsiagaan untuk menghadapi bencana gempa ini perlu diutamakan dan dipertingkatkan dari masa ke masa.

Dua tahun lalu, seorang Pakar Geologi Sabah, Prof. Dr. Felix Tongkul menjangkakan bahawa gempa bumi bermagnitud 5.8 hingga 6.2 skala Richter boleh berlaku di Lahat Datu dalam masa yang terdekat dan berpotensi menyebabkan kejadian tanah runtuh, keretakan serta kerosakan kepada struktur bangunan, perlu diberikan perhatian yang serius.

Sehingga kini, rekod gempa bumi terkuat yang pernah dicatatkan di Malaysia adalah di Sabah pada 26 Julai 1976 iaitu berhampiran dengan Lahad Datu di bahagian timur Sabah, Malaysia dengan kekuatan 6.2 skala richter.

Diikuti dengan gempa bumi pada 5 Jun 2015 jam 7.15 pagi, berlaku gegaran gempa 6.0 pada skala Ritcher di Barat Daya Ranau, Sabah dan gempa bumi pada 1 Februari 2014 jam 7.35 petang, berlaku gegaran gempa 4.8 pada skala Richter di Pekan Ranau, Sabah.

Sebelum ini, Dr Felix pernah mendedahkan kawasan pantai timur dan utara Sabah bermula dari Kudat hingga ke Tawau berisiko tinggi dilanda tsunami jika berlaku gempa bumi kuat dasar laut di Laut Sulu atau Laut Sulawesi. Sabah terletak berhampiran Lingkaran Api Pasifik.

Tahun lalu, Felo Penyelidik Utama Pusat Kajian Bencana Alam (NDRC) Universiti Malaysia Sabah (UMS), Ts. Dr. Noor Sheena Herayani Harith dalam ceramahnya bertajuk ‘Sains Gempa Bumi di Malaysia: Status dan Cabaran’ turut sama memberikan pandangan terhadap kesiapsiagaan bagi menghadapi bencana gempa bumi. Dr Noor Sheena telah menyarankan supaya implimentasi rekabentuk bangunan untuk gempa bumi diperlukan di kawasan zon merah gempa bumi seperti di Ranau, Lahad Datu dan Kunak iaitu kawasan 'hotspot' bagi mengelak kemalangan jiwa serta perlu menerapkan latihan kesiapsiagaan terhadap bencana gempa ini kepada orang awam.

Berkaitan dengan rekabentuk bangunan baharu, menurut Dr Ir Azlan Adnan, kebanyakan bangunan kerajaan baharu yang direka bentuk selepas 2017 mempunyai ketahanan terhadap gegaran gempa bumi seterusnya mengelak ia daripada mengalami kerosakan atau runtuh namun bangunan lama yang dibina sebelum itu berkemungkinan berdepan risiko mengalami kerosakan teruk jika berlaku gempa bumi. Bagaimanapun, melalui kenyataan beliau, tiada kepastian sama ada bangunan selain daripada bangunan kerajaan diberikan penegasan terhadap perkara ini.

MALAYSIA TIDAK SEPENUHNYA BEBAS DARIPADA RISIKO GEMPA BUMI

Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) mengakui bahawa Malaysia tidak sepenuhnya bebas daripada risiko gempa bumi berdasarkan kepada bukti empirikal bahawa kesan gempa bumi di negara ini adalah berpunca gempa dari jarak jauh dan tempatan.

Menurut NRECC, ini dapat dilihat apabila kejadian gempa bumi jarak jauh di Semenanjung berpunca dari sepanjang jalur Subduksi Plat India-Australia dan Plat Eurasia, manakala di Sabah dan Sarawak adalah dari sepanjang jalur Subduksi Plat Filipina dan Plat Eurasia.

Jalur ini merupakan sebahagian daripada Lingkaran Api Pasifik dan gegaran gempa bumi besar yang berpunca dari Plat India-Australia, Plat Filipina serta Plat Eurasia ini boleh dirasai di pantai barat Semenanjung Malaysia dan Sabah.

Kerana itulah, Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) sudah menerbitkan Peta Bahaya Seismik Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak pada 2019 sebagai langkah mitigrasi bagi mengurangkan risiko kerosakan gegaran fenomena ini dengan antara lain memberi fokus kepada reka bentuk bangunan tahan gegaran gempa perlu diaplikasi dan menjadi rujukan dalam pembinaan bangunan di Malaysia dengan mencirikan zon bahaya bencana seismik berdasarkan 'Peak Ground Acceleration' (PGA).

LANGKAH-LANGKAH YANG PERLU DILAKSANAKAN OLEH PIHAK KERAJAAN

Melihat kepada perkembangan semasa dengan pelbagai kemungkinan yang boleh berlaku, Khidmat Malaysia menggesa supaya beberapa perkara berikut hendaklah dilaksanakan oleh pihak kerajaan yang berkaitan ;

Memberikan kesedaran kepada rakyat secara menyeluruh tentang kemungkinan-kemungkinan akan berlakunya bencana gempa dan prosedur operasi standard (SOP) yanag perlu dipatuhi.

Menyenaraikan dan menyiarkan kawasan 'hotspot' yang berupaya dilanda gempa bumi seperti mana yang telah dikeluarkan untuk bencana banjir.

Menyediakan pelan atau langkah mitigrasi jangka pendek dan jangka panjang seperti mana yang telah disediakan sebelum ini untuk menghadapi bencana banjir.

Mewujudkan ‘task force’ di seluruh negara dengan melibatkan badan kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO) di bawah kendalian NADMA dengan memberikan latihan asas untuk turut sama bersedia bagi menghadapi bencana gempa bumi.

Menekankan kepentingan untuk memastikan semua bangunan perlu melaksanakan reka bentuk kalis gempa bumi menggunakan panduan Standard Malaysia yang telah diterbitkan pada tahun 2017.

Menyarankan supaya pihak berkuasa tempatan perlu menguatkuasakan pematuhan undang-undang reka bentuk gempa dan menghasilkan peta risiko gempa bumi.

Membuat penilaian semula bangunan yang telah dibina terutama yang lama dan yang penting seperti sekolah dan hospital.

PENUTUP

Bencana gempa bumi adalah perkara yang masih baharu di dalam masyarakat Malaysia. Kita biasa berhadapan dengan bencana banjir kerana ia sangat sinonim dengan suasana Malaysia. Pelbagai langkah telah dibuat sebelum ini bagi memastikan negara bersedia menghadapi bencana banjir.

Walaupun dalam persediaan yang rapi dan teliti, pelbagai episod duka yang telah kita tempohi dan lalui dengan kehilangan nyawa dan harta yang memeritkan untuk diingati.

Sudah tiba masanya, rakyat Malaysia perlu meningkatkan kesedaran terhadap kemungkinan akan berlakunya bencana gempa bumi ini. Bagi mereka yang mempunyai latar belakang pendidikan, pekerjaan atau pengamalan menghadapi bencana ini, hendaklah diusahakan supaya ianya dapat dikongsikan dengan massa.

Kita berdoa agar negara kita yang tercinta ini dijauhkan daripada bencana gempa bumi namun dalam masa yang sama kita perlu bersedia. Jangan sudah terhantuk baru tengadah, jangan bila ianya berlaku barulah kita nak bertindak.

Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada berguna.

Sekian.

KHAIRUL FAIZI BIN AHMAD KAMIL
Ketua Pengarah
Pertubuhan Pengurusan Kecemasan dan Bencana Malaysia
(KHIDMAT MALAYSIA)
7 Syawal 1444 bersamaan 28 April 2023

Ulasan