Rumah terbuka: Hassan Karim saran guna dana parti - Sinar Harian


SHAH ALAM - Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim menyarankan supaya kerajaan menggunakan dana parti bagi menganjurkan Majlis Rumah Terbuka Kerajaan Madani.

Jelas beliau, adalah menjadi kesalahan apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggunakan wang kerajaan pusat untuk mengadakan majlis tersebut di banyak negeri.

“Ia jelas satu penyalahgunaan kuasa, termasuklah jika kakitangan awam dan jentera kerajaan digunakan untuk mengendalikan rumah-rumah terbuka tersebut.

“Memang ada peruntukan Perdana Menteri untuk mengadakan majlis rasmi keraian seperti rumah terbuka hari raya. Tetapi di satu tempat sahaja misalnya di kediaman rasmi Perdana Menteri di Seri Perdana, Putrajaya,” katanya dalam satu hantaran di Facebooknya pada Rabu.

Menurutnya, rumah terbuka yang dianjurkan sehingga enam negeri tersebut adalah fenomena baharu yang ditakuti menyalahi kod etika dan undang-undang penggunaan wang awam.

Tambah Hassan, meskipun jumlah digunakan tidak mencecah jutaan ringgit, namun perlu diingatkan ia adalah duit awam dan perlu dibelanjakan secara berhemah, tidak melanggar etika moral dan undang-undang.

Jelasnya, satu ketika dahulu Perdana Menteri India, Indira Ghandi pernah didapati menggunakan helikopter kerajaan untuk berkempen dalam pilihan raya sehingga menyebabkan kerajaannya tumbang.

“Berapalah sangat duit kerajaan India digunakan untuk menerbangkan sebuah helikopter kerajaan untuk Perdana Menteri India, Indira Ghandi berkempen pilihan raya.

“Bukan quantum wang yang digunakan itu besar atau kecil. Yang menjadi isu pokok ialah telah berlaku penyalahgunaan kuasa,” ujarnya.

Jelasnya, kerajaan perlu berjimat memandangkan hutang negara ketika ini sudah mencecah RM1.5 trilion iaitu 82 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar.

“Selain itu kerajaan sering memberitahu bahawa kerajaan sedang menanggung beban hutang 1MDB sebanyak RM18.2 billion,” ujarnya.


https://www.sinarharian.com.my/article/255913/berita/politik/rumah-terbuka-hassan-karim-saran-guna-dana-parti

Ulasan