Bekas penasihat khas Guan Eng sertai PAS

 


TASEK GELUGOR: Bekas penasihat khas mantan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, Mohamed Razali Abd Rahman menyerahkan borang penyertaan PAS selepas sekian lama meninggalkan DAP.

Selain Razali, PAS Pulau Pinang turut menerima permohonan anggota baharu ahli Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) seramai 38 penyertaan daripada masyarakat Tionghua.

Borang permohonan Razali dan 38 ahli baharu DHPP diserahkan kepada Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man pada pentas Ceramah Himpunan PN Best Peringkat Parlimen Tasek Gelugor, di padang awam bersebelahan Masjid Surau Tuan Guru Abdullah, dekat sini, malam ini. (Foto atas)

Razali yang pernah menjawat beberapa jawatan penting dalam DAP termasuk Timbalan Ketua Pemuda DAP Pulau Pinang, pegawai khas kepada Ahli Parlimen Jelutong, ahli strategi DAP, setiausaha publisiti DAP, ketua organisasi DAP bahagian Jelutong, berkata akan membantu memenangkan PERIKATAN NASIONAL (PN) dalam pilihan raya negeri nanti.

Beberapa tahun lalu, nama beliau pernah menjadi tumpuan negara apabila mendedahkan beberapa dakwaan melibatkan DAP yang kontroversi.

Turut hadir pada ceramah malam ini, Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Ustaz Muhammad Fauzi Yusoff, Pengerusi Badan Perhubungan Bersatu, Zulkefli Bakar, Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan, Adun Selama, Mohd Akmal Kamarudin dan ramai lagi. – HARAKAHDAILY 23/6/2023

Ulasan