Gambar MB Perlis dilarang digantung di sekolah



KANGAR: Kerajaan campuran Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN) mengulangi sejarah lama kerajaan BN apabila sekolah-sekolah Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) Perlis dilarang menggantung gambar Menteri Besar.
Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli, melahirkan rasa terkilannya terhadap arahan politik itu yang dianggap bertentangan dengan semangat demokrasi.

Menurutnya, perkara itu diketahui berdasarkan maklumat daripada guru sekolah.

“Saya difahamkan hanya gambar Menteri Pendidikan dan Perdana Menteri yang boleh digantung di sekolah.

“Tiada demokrasi tindakan seperti ini. Tidak pernah lagi sebelum ini gambar Menteri Pendidikan digantung bersama gambar Perdana Menteri. Selalunya gambar Perdana Menteri dan Menteri Besar.

“Kerajaan perlu melihat perkara ini,” katanya ketika ditemui selepas program munajat perdana dan himpunan jentera pilihan raya PERIKATAN NASIONAL (PN) Perlis sempena solidariti untuk Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor di Kompleks PAS (KOMPAS) di sini, semalam.

Mohd Shukri berkata, jabatan kerajaan milik Kerajaan Pusat di Perlis tidak akan bertindak demikian tanpa ada arahan di peringkat atasan.

“Peliknya dahulu pemimpin PH sering mengulangi tidak akan melakukan apa yang dibuat oleh kerajaan BN dahulu. Namun apabila menjadi kerajaan masih melakukan tindakan sama.

“Jika begitu, tak payah cakap reformasi jika dapat kuasa tidak buat perubahan,” katanya yang tidak menyalahkan JPN yang bertindak mengikut arahan pihak atasan.

Sebaliknya, beliau yang juga Pengerusi PN Perlis sedia ‘membuka pejabat’ pada hari Ahad untuk menerima kunjungan menteri yang datang ke ke Perlis. – HARAKAHDAILY 29/7/2023

Ulasan