IBERCUP : STAR COUGARS FC BENAM MORRISVILLE SOCCOR CLUB DI PORTUGAL




Pasukan Bolasepak Bawah 17 tahun (U17) Sekolah Tuanku Abdul Rahman (STAR) Ipoh yang dikenali sebagai STAR Cougars telah berjaya membenam lawan mereka Morrisville Soccer Club dari Amerika Syarikat dengan jaringan enam gol tanpa balas dalam perlawanan pertama bagi kejohanan bolasepak IBERCUP di Estoril, Portugal.

Kejayaan ini sudah pastinya memberikan ransangan terhadap pasukan STAR Cougars yang merupakan satu-satunya pasukan dari Malaysia yang dijemput ke pertandingan tersebut bermula pada 2 Julai dan akan berakhir pada 12 Julai ini.

Kejohanan IberCup merupakan kejohanan bola sepak remaja dunia di pentas antarabangsa. Sejak edisi pertama, lebih daripada 100 buah negara telah menyertai pertandingan tersebut membabitkan penyertaan lebih 50,000 pemain remaja lelaki dan perempuan.

STAR Cougars FC telah ditubuhkan pada 1957 dan telah dijenamakan semula pada 2017 serta diberi nafas baharu dengan pengurusan dan kejurulatihan yang lebih tersusun dan teratur. Walaupun mungkin pasukan ini kurang dikenali oleh peminat bolasepak tempatan namun pencapaian yang telah diperolehi sebelum ini membuktikan STAR Cougars FC sememangnya layak untuk mewakili negara ke kojohanan berprestij ini.

Antara pencapaiannya adalah menjadi Juara di Kejohanan Piala Yakoma Antarabangsa U17 di Hanoi, Vietnam pada tahun 2022 dan muncul juara divisyen Super, kejohanan STAR National SBP Championship pada tahun yang sama. Pemilihan pasukan ini ke IberCup merupakan satu pencapaian tertinggi untuk pasukan bola sepak STAR beraksi di peringkat antarabangsa.

STAR Cougars akan berhadapan dengan pasukan GD Mocidade Praiense dari Portugal dalam perlawanan kedua yang dijadual pada hari esok. Rakyat Malaysia diseru untuk terus memberikan sokongan kepada wakil Malaysia ini bagi mengharumkan nama negara di persada bola sepak antarabangsa.

Selain pasukan dari Malaysia, Amerika Syarikat dan Portugal, kejohonan ini turut disertai oleh pasukan dari Australia, Jamaica, Brazil, Kanada, Sepanyol, Itali, Sweeden, Singapura, Zambia, UAE, Guatemala, Perancis, Poland dan Afrika Selatan.

KHAIRUL FAIZI BIN AHMAD KAMIL

Ulasan