MB jaga negeri bukan MBI – Sanusi


YAN: Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor menegaskan, pihaknya bertanggungjawab menjaga negeri bukannya Perbadanan Menteri Besar (MBI) Kedah.

Jelasnya, beliau tidak mempunyai kuasa eksekutif kepada MBI Kedah sehingga mengetahui seluruh perjalanan operasi projek.

“Ada percubaan untuk membina naratif apa saja kesalahan nak dilonggok atas kepala saya. Malas nak jawab pasal mengarut. Operasi sekecil-kecilnya suruh kita jawab. Saya tak tahu. Saya jaga negeri. Kita bukan jaga MBI,” tegas ketika ditemui selepas menyampaikan geran dan lesen pendudukan sementara bagi daerah Yan di sini, hari ini.

Sebelum ini, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata pihaknya mahukan penjelasan daripada mulut Menteri Besar sendiri tentang status dan keberadaan dua lelaki warga China ditawarkan bekerja dengan MBI.

Malah beliau juga mendakwa apa yang didedahkan itu hanyalah permulaan kepada siri pendedahan lain berhubung kecurian nadir bumi (REE) di negeri ini.

“Saya tidak ada maklumat. MBI tu ‘separate entity’. Saya pun tak ada kuasa eksekutif kepada MBI. Dia ada akta. Ada artikel dalam enakmen penubuhan MBI itu diasingkan daripada MB (Menteri Besar).

“Hanya perkara-perkara yang dibawa kepada lembaga penasihat. Dia tidak ada lembaga pengarah tapi ada panel penasihat. Saya tubuh panel penasihat itu untuk kita pantau sekiranya ada apa-apa yang sensitif untuk pengurusan bawa kepada panel,” tambah Sanusi.

Panel penasihat itu jelasnya terdiri daripada beliau sendiri, Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), Penasihat Undang-Undang, Pegawai Kewangan Negeri serta Pengarah Jabatan Perhutanan dan Pengarah Tanah dan Galian (PTG).

“Menteri itulah (Saifuddin) saya tahu cubaan yang baik tapi gagal. Dialah yang menyamakan MB itu dengan MBI,” katanya lagi.

Sementara, pagi ini seorang lagi pegawai kanan ditahan Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan.

Justeru tegas beliau, pihaknya sentiasa memberi kerjasama sepenuhnya dan meminta kakitangan yang dipanggil hadir memberi keterangan yang diperlukan.

Namun dalam pada itu, beliau tidak mengetahui secara terperinci butiran lanjut penahanan tersebut. – HARAKAHDAILY 24/7/2023

Ulasan