Pentadbiran Sanusi cemerlang, maknai ‘The Greater Kedah’




PAS Kedah merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh kepimpinan Kerajaan Negeri Kedah di bawah pentadbiran YAB Dato’ Seri Haji Muhammad Sanusi Md Nor, barisan Exco serta ADUN PERIKATAN NASIONAL (PN) yang telah menabur khidmat bakti dengan cemerlang.
Tidak dilupakan kepada barisan pegawai Kerajaan KCS, agensi Kerajaan serta jentera parti di seluruh peringkat yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung dalam mengangkat dasar Kedah Sejahtera Nikmat Untuk Semua. Tambahan lagi, keutuhan slogan ‘Kedah, Tempat Orang Miskin Berteduh, Tempat Orang Kaya Berbakti’ menjadi pemangkin kepada kerja keras daripada semua untuk merintis denai bagi merealisasikannya.

Alhamdulillah, ke semua ini adalah keberkatan daripada-Nya. Dasar Sifar Judi yang dilaksanakan tanpa kompromi membuka 1,001 pintu keberkatan dan rahmat kepada Negeri Kedah. Satu demi satu pintu rezeki terbuka dengan pelaburan keseluruhan yang dicapai adalah RM91.4 bilion bermula Dato’ Seri Haji Muhammad Sanusi mengambil alih Kerajaan pada Mei 2020 sehingga suku pertama tahun ini.

Selain itu, Kerajaan Negeri turut merintis laluan pembangunan Kerajaan Negeri dengan menyentuh beberapa dasar mesra rakyat. Antaranya;

i. Penyelesaian jangka panjang isu bekalan air Negeri dengan penaiktarafan lima Loji Rawatan Air (LRA).

ii. Projek holistik pengurangan Non-Revenue Water (NRW) sehingga tahun 2037 serta sasaran peningkatan rizab margin air sehingga 20 peratus.

iii. Meningkatkan Tanah Rizab Melayu di Negeri Kedah dalam tempoh tiga tahun.

iv. Menarik pelaburan daripada syarikat berteknologi tinggi di Kulim Hi-Tech Park dan beberapa zon perindustrian yang lain seperti SBEZ dan Kedah Rubber City.

v. Merintis langkah ke arah merealisasi Kedah Aerotropolis sebagai ‘game changer’ pembangunan koridor utara selain menjadikannya sebagai ‘The Memphis of Asian’.

vi. Menyelesaikan 7,233 isu geran tanah dan Lesen Pendudukan Sementara (LPS) yang sebahagiannya tertangguh sejak dua, tiga dekad yang lalu.

vii. Peruntukan Khairat Kematian, Bantuan Kebajikan IPT, Beras Sejahtera serta Anakku Sejahtera yang disalurkan tanpa mengira latar belakang.

Kesemua ini adalah langkahan mengembalikan era kegemilangan The Greater Kedah. Ia adalah rangkuman kepada kebangkitan semula jati diri rakyat Negeri Kedah yang telah melakar sejarah hebat pada masa lalu untuk diterjemahkan kepada kemakmuran pada masa hadapan.

PAS Kedah yakin dengan sebahagian indikator yang ditunjukkan ini akan menjelaskan sokongan padu rakyat dalam PRN yang bakal menjelang tiba. Sokongan dan dukungan semua pihak akan terus bersama PERIKATAN NASIONAL dan insya-Allah akan terus diberi peluang menerajui negeri ini kelak.

“Sayangi Kedah Sejahtera”
“The Greater Kedah”
“Malaysia Sejahtera”

YB DATO USTAZ AHMAD YAHAYA
Pesuruhjaya PAS Kedah
Ahli Parlimen Pokok Sena – HARAKAHDAILY 3/7/2023

Ulasan