PETISYEN PILIHANRAYA KUALA TERENGGANU



PETISYEN PILIHANRAYA KUALA TERENGGANU

Saya adalah salah seorang peguam utama. Faktanya begini:-

1. Ada 2 tuduhan rasuah. Pertama, bayaran kepada pengundi luar, keduanya, bayaran bantuan one-off untuk belia dan siswa yang diluluskan oleh DUN sebelum Parlimen dibubar tetapi diagihkan melalui majlis semasa tempoh berkempen.

2. Isu kedua merupakan tuduhan yang sama dalam Petisyen Marang dan Kemaman. Bantuan one-off belia dan siswa.

3. Bantuan ini dibentang dalam Belanjawan Negeri 2022 sekitar November 2021. Jadual pengagihannya diputuskan semasa mesyuarat penyelarasan pada 15 September 2022.

4. Parlimen dibubar pada 10 Oktober 2022. Pilihanraya umum ke-15 pada 19 November 2022.

5. Kami berhujah, bantuan one-off yang dibentang dalam Belanjawan yang sekaligus menjadi Enakmen per se bukan satu rasuah kerana ia program Kerajaan Negeri. Ketika itu DUN Terengganu belum dibubar dan kerajaan negeri berfungsi seperti biasa.

6. Keputusan Petisyen Marang dan Kuala Terengganu dibuat pada hari yang sama oleh 2 orang hakim yang berbeza.

7. Hakim Petisyen Marang memutuskan bantuan one-off kerajaan negeri tersebut adalah tindakan terpuji, dan tentunya bukan rasuah.

8. Hakim Petisyen Kuala Terengganu pula memutuskan bantuan one-off kerajaan negeri itu tidak salah, tapi menjadi rasuah kerana dibayar ketika tempoh berkempen pilihanraya Parlimen.

9. Maknanya ada dua keputusan yang bertentangan. Tentunya ada perbezaan sedikit dari segi fakta walaupun hujahannya adalah sama.

10. Hakim Petisyen Marang memutuskan ADUN lain yang buat bayaran (Ya, bukan calon yang buat bayaran) bukan AGEN kepada calon kerana mereka buat bayaran atas kapasiti wakil kerajaan negeri.

11. Hakim Petisyen Kuala Terengganu memutuskan ADUN lain tersebut adalah agen kepada calon Parlimen.

12. Sekali lagi 2 keputusan yang bertentangan.

13. Rasuah dalam erti kata keputusan Petisyen Terengganu bukanlah rasuah dalam erti kata kes 1MDB, kes 47 tuduhan terhadap TPM, atau kes banglo Lim Guan Eng. Ia mempunyai sifat yang jauh berbeza.

14. Kami hujahkan bahawa pemberian bantuan wang tunai oleh kerajaan yang masih berfungsi adalah BUKAN RASUAH. Kalau ia rasuah, maka banyak sekali berlaku rasuah sama ada oleh kerajaan negeri atau kerajaan pusat.

15. Kami hujahkan bahawa ADUN atau orang-orang lain yang membuat bayaran bagi pihak kerajaan BUKAN AGEN kerana agen perlu ada bukti elemen perlantikan, arahan, suruhan, permintaan atau pengetahuan dan persetujuan DARIPADA CALON itu sendiri.

16. Kebijaksanaan kedua-dua Hakim Petisyen tidak dipertikaikan. Namun memandangkan terdapat 2 keputusan yang kontra, kami yakin bahawa keputusan Petisyen Marang adalah betul dan tidak khilaf.

17. Pempetisyen dalam Petisyen Marang telah membuat rayuan ke Mahkamah Persekutuan. Kami akan terus berhujah nanti. Sama-sama kita lihat apa keputusannya nanti.

18. Responden dalam Petisyen Kuala Terengganu ada 2 pilihan. Pertama, merayu, keduanya meneruskan dengan pilihanraya semula. Perlu diingat Datuk Amzad menang dengan majoriti lebih 30k, bukan kecil seperti TPM menang di Bagan Datuk.

19. Merayu ada baiknya untuk berhujah kali kedua atas khilaf yang kami rasakan berlaku. Namun meneruskan pilihanraya tanpa rayuan juga mungkin ada baiknya, kerana keputusan itu tidak pun bersifat “mengikat” keputusan lain, apatah lagi terdapat keputusan Petisyen Marang yang langsung berbeza.

20. Ia terserah kepada Datuk Amzad dan pimpinan PAS untuk membuat keputusan. Kami sebagai peguam akan terus berhujah atas nas undang-undang dan fakta.

Wallahu’alam

YUSFARIZAL YUSSOFF

Nota:-

1. Hakim Petisyen Terengganu juga memutuskan tuduhan pertama iaitu rasuah pengundi luar tidak dapat dibuktikan.

2. Hakim Petisyen Marang juga memutuskan sedemikian.

Ulasan