Kaji semula semua ‘pendakwaan terpilih’ – Hamzah


KUALA LUMPUR: Ketua Pembangkang, Dato’ Seri Hamzah Zainudin mendesak Peguam Negara supaya menyemak dan mengkaji semula semua pendakwaan terpilih terhadap pimpinan Bersatu dan PERIKATAN NASIONAL.

Beliau menyatakan demikian susulan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini yang melepas dan membebaskan Tan Sri Muhyiddin Yassin daripada empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk suapan berjumlah RM232.5 juta bagi parti Bersatu.

“Alhamdulillah, syukur kepada Allah SWT. Kebenaran akhirnya berpihak kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pengerusi PERIKATAN NASIONAL,” ujarnya dalam hantaran di laman Facebook beliau, hari ini.

Katanya, kezaliman serta dendam politik kesumat kerajaan PH-BN yang sengaja mencipta fitnah, mengada-adakan pertuduhan serta menyalahgunakan kuasa bagi mendakwa pemimpin PERIKATAN NASIONAL terbukti di mahkamah hari ini.

Menurutnya, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bukan sahaja memutuskan bahawa pertuduhan ke atas Tan Sri Muhyiddin sebagai cacat, tidak berasas, kabur serta tidak selaras dengan Kanun Tatacara Jenayah tetapi juga merupakan kesalahan penggunaan proses mahkamah.

“Dengan kezaliman ini, referendum rakyat yang telah ditunjukkan dalam keputusan pilihan raya umum enam negeri pada Sabtu lalu perlu diterjemahkan dengan menolak kerajaan PH-BN pimpinan Anwar Ibrahim ini.

Tambahnya, kezaliman itu perlu dihentikan dan beliau juga telah memulakan tindakan undang-undang bagi menyaman kerajaan Malaysia serta SPRM.

“Berdasarkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini, saya juga mendesak Peguam Negara supaya menyemak dan mengkaji semula semua pendakwaan terpilih terhadap pimpinan Bersatu dan PERIKATAN NASIONAL untuk tujuan ditarik balik,” ujarnya yang juga Setiausaha Agung PERIKATAN NASIONAL.

Sehubungan itu, beliau menyeru kepada rakyat untuk bangkit bersama keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini. – HARAKAHDAILY 15/8/2023

Ulasan