Pendakwaan terhadap Muhyiddin adalah bentuk pemangsaan politik terancang - Takiyuddin




KUALA LUMPUR: Keputusan Mahkamah Tinggi hari ini, melepas dan membebaskan Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin daripada empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk menerima rasuah itu memang sudah dijangka.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, sebagai parti sekutu dalam Perikatan Nasional (PN), PAS yakin bahawa tuduhan yang dikenakan itu adalah satu perancangan bagi melemahkan gabungan berkenaan.

"Namun saya tidak nampak (tuduhan yang dikenakan) menjejaskan prestasi PN, sebaliknya menambahkan lagi sokongan kepada kita dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri pada Sabtu lalu.

"PAS menentang sekeras-kerasnya penyalahgunaan agensi penguatkuasa sebagai alat untuk mencapai tujuan politik. Jelas, pendakwaan ke atas Tan Sri Muhyiddin adalah satu bentuk pemangsaan politik yang terancang.

"PAS turut yakin bahawa tindakan terhadap Muhyiddin juga adalah bagi menutup aib dan melencongkan perhatian rakyat daripada isu yang berlaku di dalam UMNO yang menjadi sebahagian daripada kerajaan di bawah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mahkamah Tinggi hari ini melepas dan membebaskan Pengerusi PN itu yang didakwa menggunakan kedudukannya untuk rasuah berjumlah RM232.5 juta bagi parti itu.

Hakim, Datuk Muhammad Jamil Hussin, membuat keputusan berkenaan selepas membenarkan permohonan Muhyiddin untuk membatalkan tuduhan berkenaan.

Media sebelum ini melaporkan Ahli Parlimen Pagoh itu memfailkan notis usul untuk membatalkan tuduhan berkenaan pada 18 April lalu, dengan menamakan pendakwa raya sebagai responden.

Muhyiddin, 75, ketika menjadi Perdana Menteri kelapan didakwa menggunakan kedudukan untuk suapan berjumlah RM232.5 juta daripada tiga syarikat iaitu Bukhary Equity Sdn Bhd, Nepturis Sdn Bhd dan Mamfor Sdn Bhd serta Datuk Azman Yusoff bagi BERSATU.

Selain itu, Muhyiddin turut berdepan dua pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram berjumlah RM195 juta daripada Bukhary Equity yang dimasukkan dalam akaun CIMB Bank milik BERSATU.

Beliau turut didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam pada 13 Mac lalu atas satu pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram berjumlah RM5 juta dan kes itu dipindahkan ke Mahkamah Sesyen di sini untuk dibicarakan bersama.

Ulasan