REE: Peguam datang melobi itu adalah kawan Saifuddin?




KUALA KEDAH: Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor telah menjawab mengenai status lelaki warga China yang dikaitkan dengan beliau oleh Menteri Dalam Negeri, Senator Dato’ Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Saifuddin mendakwa, kegiatan lombong haram dan mencuri unsur nadir bumi (REE) di negeri ini telah dilakukan lelaki bernama So Loi Fat di mana dia dikenali Sanusi dan ‘dibuktikan’ dengan gambar didedahkan kepada media.

Sanusi menjelaskan, lelaki dipanggilnya sebagai ‘Mr So’ itu adalah pemilik syarikat Prospek Suria yang bekerjasama dengan Perbadanan Menteri Besar (MBI) Kedah dan telah berada di situ sebelum beliau menjadi Menteri Besar.

Cerita beliau, lelaki itu pernah datang bertemu beliau bersama seorang peguam yang merupakan kawan Saifuddin di mana hadir menerangkan kepadanya mengenai usaha melobi mereka dalam projek REE di negara ini.

“Kalau saya sebut nama (peguam itu) taubat Pudin (Saifuddin) terkejut kan? Tak apa bagi SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) mai tanya saya, saya nak habaq (siapa) ‘lawyer’ tu.

“Pasal kalau kita dedah apa semua hari ni, esok dia kona (pusing) sini. Saya tahu cara dia jawab pusing semua. La ni hang pi ‘track’ hang, aku pi ‘track’ aku. Kita nak tengok hujung siapa menang,” ujarnya.

Menurutnya, peguam itu diketahuinya bekerja di firma guaman bersama rakannya yang juga daripada PKR telah memberitahunya mengenai Prospek Suria telah menghabiskan RM30 juta untuk tujuan REE tersebut.

Maklumnya lagi, Prospek Suria juga telah membayar kepada MBI sebanyak RM5 juta berdasarkan kepada rekod resit yang ada sebagai pendahuluan bagi melakukan usaha mengekstrak REE di negeri ini.

Terang Sanusi, pengekstrakan REE adalah menggunakan teknologi baharu dipanggil ‘in situ leaching’ dengan hanya menebuk lubang kecil dan memasukkan ammonia sulfat tanpa melibatkan korekan besar pada tanah.

Katanya, memandangkan syarikat itu mempunyai kerjasama dan telah menghabiskan banyak wang, beliau menyuruh mereka meneruskan dengan ketegasan supaya mengikut undang-undang berkaitan.

Antaranya jelas beliau, memohon lesen menjelajah dari Pejabat Tanah dan Galian (PTG) dan proses itu sudah dilakukan, malah beliau pernah menyentuh mengenai hal lelaki tersebut dan kegiatan itu di dalam Sidang DUN.

Mengulang perkara tersebut, beliau sudahpun menyatakan bahawa sekiranya kecurian REE itu sebagaimana didakwa, maka untuk menangkap pihak yang terbabit adalah mudah sahaja iaitu dua individu.

Sebutnya, mereka ialah So selaku pemilik Prospek Suria dan Ketua Pegawai Eksekutif MBI, Muhammad Sobri Osman, tetapi pencuri yang telah ditangkap oleh pihak berkuasa ialah lelaki berbangsa Cina dari Kuala Krai, Ho Chu Meng.

Sanusi turut memberitahu bahawa untuk kerja melombong pula memerlukan lesen dikeluarkan oleh pihak Kementerian Persekutuan bermula dengan kajian impak alam sekitar (EIA) dijalankan.

Bagaimanapun maklumnya, kementerian tersebut mempunyai ketetapan khas untuk tidak sama sekali membenarkan sebarang kegiatan perlombongan dijalankan di dalam hutan simpan .

Beliau juga menyentuh mengenai kenyataan pernah dibuat Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Sri Fadillah Yusof selepas mempengerusikan mesyuarat MTN di mana terdapat 60 lombong haram di Negeri Kedah.

Sanusi berkata, jika terdapat 60 lombong tersebut terdapat hanya di negeri ini, ia pasti boleh dilihat di mana-mana oleh sesiapa sahaja, tetapi jumlah tersebut adalah melibatkan di seluruh negara.

Malah beliau menyifatkan, jumlah sebanyak itu berlaku adalah disebabkan kementerian berkaitan tidak mempunyai dasar dan prosedur operasi standard (SOP) untuk perlombongan REE dilaksanakan secara sah. – HARAKAHDAILY 2/8/2023

Ulasan