Terima kasih 3.3 juta pengundi PN: PAS teruskan khidmat terbaik




PAS mengucapkan syukur kepada Allah SWT dan berterima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia, terutamanya di Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Terengganu dan Kelantan atas kelancaran dan kejayaan perjalanan Pilihan Raya Umum ke-15 bagi negeri-negeri berkenaan pada Sabtu, 12 Ogos lepas.

PAS percaya perjalanan proses pilihan raya yang baik, teratur dan aman adalah ciri penting sebuah masyarakat dan negara yang matang dan demokratik.

Ia juga adalah petunjuk kepada kesediaan semua pihak untuk mendaulatkan suara dan kehendak rakyat dalam pemilihan wakil mereka, sekalipun keputusan yang dibuat mungkin tidak memihak kepada kita.

PAS mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada pihak berwajib, khasnya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), pasukan polis dan keselamatan serta semua agensi yang terlibat secara langsung dalam pengendalian pilihan raya baru lepas.

PAS merakamkan rasa terharu dan jutaan terima kasih kepada lebih 3.3 juta pengundi yang telah mengundi dan memberi kepercayaan kepada calon-calon PERIKATAN NASIONAL (PN) dan memungkinkan kita mencapai kejayaan cemerlang dengan memenangi 146 daripada 245 kerusi yang dipertandingkan.

Secara khusus, PN berjaya mempertahankan tiga negeri, iaitu Kedah, Kelantan dan Terengganu dengan jumlah kerusi dan majoriti undi yang jauh lebih besar melebihi dua pertiga suara.

PN juga mencapai kejayaan yang amat memberangsangkan di Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan yang dikuasai oleh gabungan Pakatan Harapan- Barisan Nasional (PH-BN).

Ucapan terima kasih yang setinggi-tingginya khusus ditujukan kepada ahli, penyokong dan jentera pilihan raya PAS dan PN atas kerja keras dan komitmen jitu mereka sepanjang perjalanan pilihan raya dan lama sebelum itu bagi memastikan kejayaan parti.

Dalam pada itu, PAS kini turut meneliti keputusan dan laporan pilihan raya bagi beberapa kawasan yang dipertikaikan dan tidak menolak kemungkinan untuk memfailkan petisyen pilihan raya terhadap keputusan tersebut dalam waktu terdekat.

PAS bersama PN komited dan akan meneruskan agenda serta khidmat terbaik untuk semua rakyat di negeri-negeri yang berada di bawah pentadbiran PN.

Pada masa sama PAS akan memainkan peranan sebagai pembangkang yang bertanggungjawab serta konstruktif di Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan yang dikuasai oleh kerajaan PH-BN.

“Malaysia Sejahtera”

TAKIYUDDIN HASSAN
Setiausaha Agung PAS
Bertarikh: 14 Ogos 2023/27 Muharram 1445 – HARAKAHDAILY 14/8/2023

Ulasan