Dr Mazri harap masalah banjir kilat dapat diatasi


MUAR: Calon PERIKATAN NASIONAL bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Simpang Jeram, Dr Mazri Yahya berkata, masalah banjir kilat masih kerap berlaku di kawasan itu dan DUN-DUN berhampiran.

Jelas beliau, perkara itu perlu diambil perhatian oleh pihak berkuasa untuk mengenalpasti punca dan mencari jalan penyelesaian.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kejadian banjir kilat yang berlaku di hadapan MRSM Bakri, semalam.

“Di Simpang Jeram ini juga masalah banjir bukan benda yang unik dan hanya berlaku sekali atau dua kali setahun. Tetapi hampir setiap kali berlaku hujan lebat, beberapa jam sampai kadang-kadang beberapa hari pasti akan berlaku banjir kilat.

“Ia berlaku sama ada di Kampung Hulu, Parit Wahid, Bukit Batu, juga di Teluk Kemang. Ini merupakan kawasan-kawasan banjir yang berlaku di DUN Simpang Jeram saban tahun,” ujar beliau.

Tambahnya, masalah itu sedia dimaklumi oleh ADUN yang telah berkhidmat sebelum ini, pihak berkuasa tempatan dan Jabatan Parit dan Saliran.

Menurut beliau pada Disember 2006 sehingga awal Januari 2007 berlaku banjir besar yang melanda negeri Johor dan beberapa negeri di selatan dan Pahang pada ketika itu yang tidak pernah berlaku sebelum daripada ini.

Katanya, beliau yang pada masa itu berkhidmat di Hospital Kuala Lumpur dalam tahun 2006, sebagai Pakar Perunding selain memegang jawatan Pengerusi Persatuan Profesional Islam Anak Johor, turut menghantar bantuan kepada mangsa-mangsa banjir ketika itu.

“Saya nak nyatakan perkara ini di sini, perkara ini bukan sekali, tetapi berkali-kali. Jadi mesti kita kenal pasti apakah puncanya perkara ini berlaku,” katanya dalam majlis Ceramah Kelompok PERIKATAN NASIONAL PRK Simpang Jeram yang berlangsung di UDM Jalan Sakeh, di sini, malam tadi.

Turut berucap ialah Ketua Pemuda PAS Johor, Ustaz Ahmad Nawfal Mahfodz, Ahli Parlimen Kuala Krai, Ustaz Abdul Latiff Abdul Rahman dan pendakwah bebas, Ustaz Ahmad Dusuki Abdul Rani. – HARAKAHDAILY 2/9/2023


Ulasan