Hayati pertahan kemenangan, boleh menang semua negeri




KOTA BHARU: Tanggungjawab besar bagi ahli adalah untuk mempertahankan kemenangan yang menyaksikan kejayaan PAS pada Pilihan Raya Umum Ke 15 (PRU15) dan Pilihan Raya Negeri (PRN).

Sehubungan itu Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, penyelaras antara cawangan dan kawasan perlu dilakukan untuk pastikan kemenangan itu dipertahankan.

Beliau berkata, tanggapan sesetengah pihak bahawa usaha itu perlu digalas oleh wakil rakyat yang dilantik selepas kedua-dua pilihan raya parlimen dan negeri baru-baru ini tidak betul.

“Sekarang ini kena pertahankan kemenangan yang ada ini dengan betul-betul, pertahan kemenangan ini bukan atas tanggungjawab wakil rakyat seorang sahaja, tetapi semua ahli parti kita ini.

“Kena sedar ramai kalangan kita menganggap benda ini begitulah, tidak boleh, jadi semua cawangan dan kawasan kena buat penyelarasan buat kerja untuk bina kekuatan parti,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas membentangkan kertas kerja ‘Istiqamah Mengekalkan Kemenangan’ pada Liqa Fikri PAS Kelantan di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (Putik) di sini semalam.

Pada majlis itu juga Menteri Besar, Dato’ Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud turut membentangkan kertas kerja, Penerusan Dasar Membangun Bersama Islam – Visi dan Misi’.

Hadir sama Pesuruhjaya PAS Kelantan, Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob; timbalan-timbalan pesuruhjaya, Dato’ Mohd Amar Abdullah, Dato’ Dr. Mohamed Fadzli Hassan dan Dato’ Dr Johari Mat.

Ahli Parlimen Marang itu menjelaskan jika konsep mempertahankan kemenangan itu dihayati oleh semua ahli, tidak mustahil parti itu memenangi semua negeri pada pilihan raya akan datang.

Pada PRU15 lalu, katanya PAS memenangi 49 kerusi Parlimen yang tertinggi berbanding parti-parti lain yang bertanding, bahkan PRN, PAS kekal memerintah dan beberapa kerusi di negeri PH.

“Kalau kita bina kekuatan parti di negeri kita empat tu, perantau tidak payah balik, nanti kita akan perintah negeri-negeri lain pula, anak perantau tidak lagi perlu pulang mengundi.

“Tetapi di sini kena pertahankan, kalau di sini tidak pertahan tidak jadi, kena bina kekuatan di sini dan sebar kekuatan ke tempat-tempat lain di samping kita ajak orang lain ikut kita,” katanya. – HARAKAHDAILY 17/9/2023

Ulasan