PM patut lantik Menteri Kewangan II




KUALA LUMPUR: Mohd Syahir Che Sulaiman (PN-Bachok) mempertikaikan kedudukan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang pada masa sama memegang jawatan Menteri Kewangan.

Beliau membandingkan kedudukan itu seperti Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) yang perlu bertanya kepada Ketua Pegawai Kewangan (CFO).

“Jadi sebagai CEO, dia kena tanya CFO di sebelah, nak tanya macam mana kalau dia sendiri adalah CEO dan juga CFO?” katanya ketika mencelah ucapan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin, pada sesi perbahasan Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau sependapat dengan cadangan Datuk Dr Radzi Jidin (PN-Putrajaya) supaya kerajaan melantik Menteri Kewangan II untuk membantu Perdana Menteri.

“Datuk Seri Ketua Pembangkang, saya nak tambah cadangan Datuk Putrajaya tadi. Ramai yang layak, (Ahli Parlimen) Titiwangsa boleh, (Ahli Parlimen) Semberong senyum jer tu boleh, di Sabah ramai Sarawak ramai,” katanya.

Mohd Syahir melahirkan perasaan hairan kerana tidak susah pun untuk melantik Menteri Kewangan Kedua.

Katanya, hanya Menteri Kewangan boleh menyertai mesyuarat Kabinet kerana dua Timbalan Menteri Kewangan yang ada tidak boleh berbuat demikian. – HARAKAHDAILY 12/9/2023


Ulasan