‘Semangat saya tidak berkurangan, insya-Allah’




MUAR: Mantan Naib Presiden PAS, Dr Sanusi Daeng Mariok berharap untuk bersama-sama semua rakan seperjuangan sehingga ke akhir hayat, namun beliau mengakui memang sudah tidak mempunyai tenaga untuk turun aktif seperti dahulu.

“Saya sudah 84 tahun, tapi semangat saya tidak berkurangan, insya-Allah. Dan saya bersedia ala kadar kemampuan saya membuat apa juga bentuk sumbangan,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap sebagai jemputan khas bagi menyampaikan pengkisahan sejarah PAS Johor dalam program sambutan Hari Assabiqun PAS Johor 2.0 yang berlangsung di Markas PAS Bakri, di sini, hari ini.

Turut berucap ialah Pengerusi Sidang Assabiqun PAS Pusat, Dato’ Dr Mahfodz Mohamed dan Pesuruhjaya PAS Johor, Ustaz Abdullah Hussin.

Dr Sanusi juga mengajak anggota-anggota Assabiqun turun membantu PERIKATAN NASIONAL yang sedang berhadapan dengan dua Pilihan Raya Kecil (PRK) di DUN Simpang Jeram dan Parlimen Pulai.

“Sahabat-sahabat, jom kita bangun bersama. Dan saya harap kita buktikan Assabiqun ini, kita sedang berhadapan dengan pilihan raya di sini dan kita sedang berhadapan dengan pilihan raya di Johor Bahru. Bukan itu matlamat akhir itu. (Tetapi) itu adalah wasilah atau jambatan untuk kita mencapai matlamat kita.

“Gunakanlah kemampuan saudara-saudara sebagai Assabiqun yang berpengalaman, Assabiqun yang penuh dengan keikhlasan, Assabiqun yang penuh dengan cubaan, penuh tekanan-tekanan tetapi berjaya (menghadapinya).

“Jadi sekarang Assabiqun adalah kumpulan yang terkuat dan paling banyak sekali pengalamannya dalam PAS,” ujarnya yang pernah dua kali menjadi Pesuruhjaya PAS Johor dan dua penggal sebagai Ahli Parlimen Rantau Panjang.

Pada majlis itu, Tokoh Assabiqun Johor dianugerahkan kepada Nasir Ahmad, 75, yang merupakan Timbalan Yang Dipertua PAS Kawasan Ledang, manakala tokoh Assabiqat kepada Datin Norain Abdul Wahid, 78, yang merupakan bekas Ketua Dewan Muslimat PAS Kawasan Pagoh dan pengasas PASTI Al Muhammadi. – HARAKAHDAILY 2/9/2023

Ulasan