Tun M sokong PERIKATAN NASIONAL walau bukan ahli


MUAR: Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menzahirkan sokongan kepada PERIKATAN NASIONAL walaupun tidak menjadi ahli parti gabungan tersebut.

Tambah beliau, ini adalah kerana parti gabungan itu adalah parti yang benar-benar memperjuangkan nasib orang Melayu-Islam tanpa menganiaya orang-orang bukan Islam.

“Jadi inilah perjuangan PERIKATAN NASIONAL. Sebab itu saya setuju untuk bersama dengan PERIKATAN NASIONAL. Saya bukan ahli tetapi saya sokong.

“Ramai orang Melayu sokong walaupun tidak menjadi ahli PERIKATAN NASIONAL tetapi mereka sokong. Sikit sebanyak ada kesan juga sokongan mereka,” ujarnya.

Namun tambahnya Pakatan Harapan (PH) tidak senang dengan perjuangan PERIKATAN NASIONAL yang banyak mempertahankan nasib Melayu-Islam.

“Kita telah buat satu proklomasi masalah orang Melayu. Apa salahnya? Cuma nak cakap pasal masalah orang Melayu. Kita bukan nak sentuh orang lain,” katanya.

Tun Dr Mahathir berkata demikian semasa berucap di dalam majlis Ceramah Mega PERIKATAN NASIONAL bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Simpang Jeram yang berlangsung di Markas PAS Kawasan Bakri, di sini, malam ini.

Beliau turut menggesa agar rakyat Malaysia terutama Melayu-Islam agar keluar beramai-ramai pada 9 September ini untuk mengundi PERIKATAN NASIONAL.

Tambahnya di sesetengah negara seperti Ukraine, rakyatnya sanggup berperang dengan negara gergasi Rusia untuk mempertahankan hak mereka.

“Di Malaysia kita tak suruh perang. Tak payah nak mati. Nak pangkah sahaja. Saya sedih orang Melayu tidak keluar mengundi seolah-olah mereka tidak sayang dengan negara mereka.

“Bukan nak suruh mati, tidak. Tak payah nak perang. Cuma pangkah sahaja. Saya pangkah kerana saya orang Melayu, bukan kerana parti atau pun lain-lain tetapi kerana sayang kepada bangsa kita, sayang kepada negara kita.

“Tapi apa nak buat, ini bangsa saya, ini negara saya, ini agama saya, saya perlu pertahankan. Jadi saya datang pada malam ini sebagai orang Melayu. Bukan sebagai ahli parti mana-mana.

“Tetapi saya sokong perjuangan PERIKATAN NASIONAL. Pasal PERIKATAN NASIONAL tak nak bagi negara kita kepada orang lain,” ujar beliau.

Tambahnya, apa yang berlaku di dalam kerajaan pada hari ini bercanggah dengan reformasi dan kebebasan bersuara yang mereka pernah perjuangkan sebelum ini sehingga rakyat ditakut-takutkan dengan pelbagai penguatkuasaan undang-undang untuk menyekat suara rakyat.

“Kita kena tunjuk kepada dia betapa kita tak sokong dia. Oleh itu pada hari pengundian keluarlah beramai. Orang Melayu keluar sebagaimana orang Cina keluar, 100 peratus keluar, undi PERIKATAN NASIONAL,” ujar beliau lagi.

Turut berucap ialah Pengerusi PERIKATAN NASIONAL, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Presiden Gerakan, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai, Pesuruhjaya PAS Johor, Ustaz Abdullah Husin dan calon PN PRK Simpang Jeram, Dr Mazri Yahya. – HARAKAHDAILY

Ulasan