5 sikap merencatkan penyatuan Melayu



5 sikap merencatkan penyatuan Melayu
Oleh Nor Amalina Alias - Oktober 9, 2023 @ 4:22pm

KOTA BHARU: Bagi sesetengah orang Tok Kenali atau Muhammad Yusuf Ahmad mungkin seorang daripada ulama yang memberi sumbangan besar kepada kemerdekaan tanah air.

Namun Tok Kenali juga sebenarnya menyumbang dalam bidang persuratan menerusi sajak-sajaknya yang meluahkan kekecewaan terhadap bangsanya sendiri.

Pembabitan ulama asal Kelantan ini dalam perjuangan kemerdekaan negara bermula sekembalinya dari Makkah pada 1909.

Pegawai Penyelidik Perbadanan Muzium Negeri Kelantan, Mohd Fadli Ghani, berkata Tok Kenali sebagai ulama, bukan sahaja menyumbang kepada perkembangan ilmu agama tetapi juga menjadikan Kelantan sebagai pusat keilmuan dengan banyaknya penerbitan dihasilkan.

"Beliau mula membawa perubahan besar di Kelantan yang ketika itu dinaungi British pasca perjanjian Bangkok tahun 1909.

"Ketika itu beliau melihat bangsanya masih leka hingga Tok Kenali menyelar mereka dalam satu daripada sajaknya.

"Beliau menuliskan begini; ' anak-anak putera saya tiada sangat berbeza di antara masa mereka berteduh di telinga gajah dan masa mereka berteduh di bawah dagu singa'

"Sajak itu adalah tamsilan kepada keadaan orang Melayu ketika diperintah 'gajah' merujuk kepada kerajaan Siam dan 'singa' iaitu kerajaan British yang menaungi kerajaan Kelantan sejak zaman Sultan Muhammad I sejak tahun 1801 sehingga perjanjian Inggeris pada tahun 1902," katanya dalam Syarahan Perdana A Kadir Adabi bertajuk Tok Kenali : Ketokohan, Pemikiran dan Sumbangannya dalam bidang persuratan anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Timur dengan kerjasama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Negeri Kelantan (MAIK) serta Pertubuhan Peradaban Melayu Malaysia Kelantan (PERADABAN) baru-baru ini.

Tegas Mohd Fadli, kesedaran tinggi untuk membangkitkan semangat bangsa menyaksikan Tok Kenali turut menubuhkan Pondok Kenali; Masjid Muhammadi dan MAIK.

Ketika itu katanya, Tok Kenali turut dibantu oleh beberapa tokoh lagi iaitu Nik Mahmood Nik Ismail dan Muhammad Khatib Muhammad Said.

MAIK katanya, bukan saja mengambil alih pentadbiran fatwa agama, masjid, zakat dan pendidikan yang bermula sejak 1511 sebaliknya turut melahirkan barisan pengarang hebat dalam hal ehwal agama Islam.

Reformasi sikap itu tidak berhenti di situ sebaliknya kata Mohd Fadli, Tok Kenali turut mengkritik sikap orang Melayu yang tidak mempunyai apa-apa perasaan ketika berada di bawah pemerintahan penjajah.

"Malah beliau sangat kecewa kerana sikap orang Melayu bagaikan seperti sudah dipaku jati diri mereka. Hal ini juga berlaku dalam kalangan ahli agama sendiri apabila mereka hanya 'mengunyah' kita-kitab di pondok atau surau saja hingga tidak mahu bercampur gaul dengan masyarakat," katanya.

Hal ini tegas Mohd Fadli, ingin segera diperbetulkan oleh Tok Kenali hingga beliau menyarankan ahli agama turut mempelajari ilmu syariat dan politik bagi memastikan barisan ulama ini tahu taktik kotor penjajah bagi mengelakkan diri menjadi alat.

Justeru katanya, Tok Kenali sangat menggalakkan anak muridnya mempunyai hubungan baik dengan organisasi dengan gerakan politik atau separa politik antaranya penubuhan Jamiah Asriyyah yang menentang sikap zalim golongan bangsawan terhadap anak bangsa sendiri.

"Kekangan besar dalam bangsa Melayu sehingga membawa kepada sifat jumud adalah apabila tidak mengetahui ilmu daripada asalnya.

"Ia menyebabkan rujukan agama dalam bahasa Arab tidak dapat dirujuk sepenuhnya terutamanya bagi kitab-kitab besar.

"Tidak salah untuk merujuk kitab dalam bahasa sendiri namun jika tiada ulama atau tokoh yang mampu merujuk kitab asal, sukar melahirkan ulama besar yang boleh menjadi pemikir umat," katanya.

Justeru hal ini yang ingin diubah Tok Kenali ketika memulakan pembelajaran bahasa sebagai asas yang bukan sahaja menembusi ilmu tetapi melahirkan pemikir-pemikir berkeupayaan mengambil daripada sumber asal.

Jasa baik Tok Kenali dalam hal itu meletakkan beliau sebagai guru dengan ramai anak muridnya yang kemudian membuka pondok-pondok agama selain menjalankan peranan masing-masing dalam membina peradaban bangsa Melayu.

Tambahnya, Tok Kenali yang dilahirkan di Kampung Paya, Kubang Kerian ini sangat mengambil berat soal orang Melayu dan Islam dengan mendidik anak bangsanya supaya mempunyai minda terbuka dan pemikiran yang bijak.

Mohd Fadli berkata, berdasarkan beberapa catatan, Tok Kenali pernah menuliskan lima pemikiran yang merencatkan penyatuan orang Melayu iaitu sikap malas, tidak berilmu, suka dengki , bergaduh dan mengumpat langsung membuatkan mereka hilang kekuatan sebagai bangsa yang besar.

Hal ini tegasnya hanya boleh diatasi dengan penyatuan bangsa atas nama agama.

"Semua orang Melayu harus meninggalkan sifat-sifat keji dan negatif sebaliknya bersikap lebih mulia. Hal ini akan membantu Melayu menjadi hebat," katanya.

Tambahnya lagi, dalam bidang persuratan juga, Tok Kenali melihat kepentingan akhbar sebagai lidah yang menghubungkan bangsa Melayu di pelusuk negara.

"Waktu itu Pulau Pinang dan Singapura yang tidak diperintah raja namun mampu menerbitkan akhbar lebih cepat berbanding negeri lain.

"Hal ini menyebabkan Tok Kenali mempelopori penerbitan di Kelantan dengan munculnya Pengasuh pada 11 Julai 1918.

"Beliau yang ketika itu menjadi pengarang turut membantu melahirkan ramai penulis dan agamawan," katanya.

Ulasan