Dua PPS dibuka di Sungai Petani malam ini



SUNGAI PETANI: Dua pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka malam ini, bagi menempatkan mangsa banjir di beberapa kawasan susulan peningkatan paras air.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kuala Muda, Kapten (PA) Azahar Ahmad berkata, PPS Dewan UMNO Kampung Bukit Belah dibuka jam 9 malam ini manakala PPS Dewan Pusat Jagaan Ciying Taman Seruling dibuka jam 10 malam.

Setakat ini, katanya, 10 keluarga dipindahkan ke PPS Dewan UMNO Kampung Bukit Belah dan jumlah sebenar mangsa dipindahkan ke dua PPS itu masih dalam bancian.

"Setakat jam 10 malam ini, air semakin naik di Kampung Haji Wahab, Taman Sari dan Kampung Belakang Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) (C) Min Terk.

"Operasi pemindahan mangsa dilakukan menggunakan bot APM dan bantuan bot Cdert-P Madad," katanya di sini, malam ini.

Antara kawasan terjejas ialah Taman Bersatu, Taman Widuri, Taman Teratai, Taman Kenari Baru 2, Taman Songket, Taman Berlian, Kampung Bukit Belah, Kampung Batu 2, Kampung Haji Wahab 1, Taman Ambangan Height dan Taman Sari.

Kampung Baru Bakar Arang di Sungai Pasir, turut terjejas dinaiki air.

Ulasan