Kejatuhan Ringgit: Keyakinan pelabur perlu diperkukuh






MALAYSIA terus dirundung kebuntuan apabila Ringgit terus jatuh ke paras terendah tahun ini berbanding Dolar Amerika Syarikat (USD). Pada Rabu, 27 September 2023, mata wang tempatan turun kepada 4.7050/7095 berbanding Dolar AS daripada penutupan Selasa 4.6875/6915. Mata wang tempatan itu turun berbanding Euro pada 4.9694/9742 daripada penutupan Selasa iaitu 4.9673/9716, susut berbanding Pound Britain pada 5.7147/7202 daripada 5.7117/7166 dan lemah berbanding Yen Jepun kepada 3.1573/1605 daripada 3.1489/1518 Selasa.

Nilai Ringgit juga menyusut berbanding Baht Thai kepada 12.9038/9211 daripada 12.8884/9043 dan rendah berbanding Rupiah Indonesia kepada 303.6/304.1 daripada 302.5/303.0 sebelumnya. Mata wang tempatan turut menguncup berbanding Peso Filipina pada 8.25/8.27 daripada 8.23/8.24 dan merosot berbanding Dolar Singapura kepada 3.4353/4391 daripada 3.4275/4310 sebelumnya.

Untuk rekod, nilai Ringgit terendah yang pernah dicatat negara pada Mac 1998 iaitu RM4.88 berbanding 1 USD. Sejak pandemik COVID-19, nilai Ringgit mengalami turun naik paling tidak stabil akibat kebejatan ekonomi global dan ketidakstabilan politik yang berterusan.

Pola kejatuhan nilai Ringgit boleh dilihat telah bermula secara ketara sejak 2022 lagi apabila nilai Ringgit pernah susut sehingga RM4.7360 pada Oktober berbanding 1 USD. Ringgit kembali meningkat seketika kepada RM4.2410 pada Januari 2023 sebelum ia kembali menurun pada kadar RM4.6650 pada Jun 2023 dan kini terus menyusut sehingga RM 4.7085 pada penghujung September 2023.

Berbeza dengan era pentadbiran bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang memiliki majoriti yang sangat kecil serta cabaran pandemik COVID-19, kerajaan pada hari ini ditadbir oleh gabungan yang lebih stabil dengan majoriti yang jauh lebih kukuh, namun kelebihan tersebut masih gagal dimanfaatkan untuk menarik lebih banyak pelaburan dan menghalang kejatuhan nilai Ringgit secara berterusan berbanding US Dolar.

Inflasi dan pengukuhan Dolar US

Tidak dinafikan, antara faktor utama kejatuhan Ringgit adalah disebabkan oleh pengukuhan Dolar AS dan sentimen pelabur terhadap keputusan mesyuarat Rizab Persekutuan (Fed) AS. Malahan, ramai penganalisis kewangan dalam dan luar negara, percaya AS akan terus mengekalkan kadar faedah dan dasar monetari yang ketat bagi mengatasi masalah inflasi di negara berkenaan.

Hal ini secara tidak langsung menyebabkan para pelabur cenderung untuk melabur dalam mata wang US Dollar yang dianggap lebih stabil dan menguntungkan. Ini juga akan menyebabkan permintaan terhadap Ringgit menurun dan mengakibatkan kejatuhan nilai Ringgit berbanding US Dollar.

Namun demikian, isu inflasi di peringkat global dan perubahan kadar faedah oleh Fed tidak boleh terus dijadikan alasan kejatuhan nilai Ringgit secara berterusan. Mengambil iktibar daripada analisa kejatuhan Ringgit di era pentadbiran Datuk Seri Najib Razak oleh Ahli Parlimen Pandan, YB Rafizi Ramli pada Julai 2017, beliau menyimpulkan bahawa kejatuhan Ringgit adalah disebabkan oleh kegagalan pengurusan ekonomi dan skandal rasuah 1MDB oleh bekas Perdana Menteri itu.

Datuk Seri Anwar Ibrahim pula, dalam satu ceramahnya pada September 2022, lantang mengkritik Menteri Kewangan ketika itu, Yb Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Aziz bahawa kejatuhan nilai Ringgit adalah bukti nyata ketidakupayaan Kerajaan BN – PN memerintah negara. Malahan, Tengku Zafrul juga disifatkan Anwar tidak layak menjadi Menteri Kewangan kerana mengunakan alasan isu kejatuhan Ringgit adalah normal akibat inflasi dan kejatuhan ekonomi dunia.

Lepas tanpa bebas

Selain faktor ekonomi global, faktor keyakinan para pelabur terhadap kerajaan semasa juga memainkan peranan penting dalam pengukuhan Ringgit. Umum mengetahui, kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri, YAB Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menyatakan satu komitmen yang serius memerangi rasuah dan salah guna kuasa dalam kalangan para pemimpin dan penjawat awam. Kerajaan juga berjanji untuk memperbaiki mutu pentadbiran dan tata kelola yang telus bagi menjamin kestabilan ekonomi dan sosial.

Namun, situasi berbeza berlaku pada 4 September yang lalu apabila Mahkamah memutuskan untuk melepas tanpa membebaskan (DNAA) Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi daripada semua 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah, dan pengubahan wang haram berkaitan dana Yayasan Akalbudi.

Menurut Penganalisis Ekonomi, Prof. Emeritus Dr. Barjoyai Bardai, Ringgit semakin merosot setelah keputusan mahkamah berhubung DNAA tersebut. Nilai Ringgit juga dilihat terus berada di paras terendah malahan merosot saban hari. Tegas beliau, kadar pertukaran asing merupakan bayangan keyakinan pelabur di pasaran. Apabila kerajaan melaungkan penghapusan rasuah sejak mengambil alih pentadbiran negara, namun secara tiba-tiba, terdapat kes rasuah di ‘DNAA’ sekali gus, menunjukkan wujud kelonggaran kepada sistem perundangan negara.

Kerajaan harus sedar, amalan rasuah, kronisme dan tindakan pilih kasih sangat mempengaruhi sentimen kepercayaan para pelabur. Jika skandal 1MDB oleh bekas Perdana Menteri, Najib Razak benar-benar dijadikan iktibar dalam memastikan keyakinan pelabur dan keutuhan nilai Ringgit, kerajaan sewajarnya tidak mengulangi kesilapan yang sama dengan menggugurkan pertuduhan kes Timbalan Perdana Menteri, Zahid Hamidi sebelum selesai dibicarakan.

Pengajaran buat negara

Dalam menangani isu kejatuhan Ringgit, semua pihak perlu memainkan peranan dan berganding bahu sama ada kerajaan, swasta, dan rakyat dalam usaha memperkukuh kedudukan mata wang dalam pasaran.

Selain tindakan bijak mengurus cabaran perubahan ekonomi dunia, kerajaan juga harus serius memberi fokus kepada perkara yang sewajarnya berada dalam kawalan. Sebagai contoh, dalam usia gabungan parti politik yang membentuk kerajaan masih baharu, kerajaan boleh mengambil langkah proaktif mewujudkan hubungan baik dengan pihak pembangkang agar mampu mewujudkan keharmonian.

Tindakan seperti membuat siasatan dan pendakwaan terpilih, merumitkan proses agihan peruntukan Ahli Parlimen, serta kawalan media yang terlalu ketat boleh mencetuskan pertelingkahan berterusan seterusnya mewujudkan keadaan politik yang tidak stabil dan tidak mesra kepada pelaburan.

Manakala, isu DNAA juga perlu diakui telah memberi persepsi negatif dunia terhadap negara. Kerajaan juga dilihat gagal memberi penjelasan yang meyakinkan bagi meredakan keadaan. Natijahnya, para pelabur melihat kerajaan masih belum serius menangani isu-isu rasuah dan salah guna kuasa di negara ini.

MOHD HAFIZUDIN MOHD YAHAYA
Yayasan Strategik Lestari – HARAKAHDAILY 3/10/2023

Ulasan