KUALITI UDARA SEMAKIN MEROSOT : LANGKAH BERJAGA-JAGA MESTI TERUS DIPERTINGKATKAN


Sejak pertengahan bulan lalu, Jerebu telah mula dikesan berlaku kembali di negara kita. Dilaporkan sebelum ini, empat stesen kaji cuaca di Pulau Pinang mencatat bacaan indeks pencemaran udara (IPU) pada tahap sederhana.

Dilaporkan juga bahawa lebih 10 kawasan titik panas di Selatan Kalimantan dan Selatan Sumatera di negara jiran, dikenal pasti punca kepada jerebu di Malaysia pada ketika itu. Terkini, Indonesia merekodkan sebanyak 2,203 titik panas di Kalimantan Barat yang mungkin menjadi punca kepada peningkatan kadar jerebu yang dialami ketika ini.

Sejak beberapa hari yang lalu, telah dilaporkan bahawa terdapat banyak kawasan yang terjejas akibat kesan peningkatkan jerebu di negara ini. Beberapa kawasan seperti di Taiping, Batu Muda, Bukit Rambai, Nilai dan Cheras telah mengalami masalah jerebu yang membimbangkan.

Walaupun ketika ini dilaporkan melalui laman web Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS) di bawah kendalian Jabatan Alam Sekitar (JAS) menunjukkan bahawa Nilai di Negeri Sembilan dan Cheras di ibu negara kekal sebagai kawasan tidak sihat dengan bacaan IPU masing-masing 154 namun langkah berjaga-jaga perlu dipertingkatkan kerana masih terdapat sebanyak 62 kawasan lain pula merekodkan bacaan IPU pada tahap sederhana.

Khidmat Malaysia mengingatkan kepada semua supaya sentiasa berwaspada dan mengurangkan aktiviti luar dalam keadaan ketika ini. Elak aktiviti fizikal di luar bangunan bagi mengurangkan pendedahan kepada jerebu kerana ianya boleh menyebabkan peningkatan kadar pernafasan dan keadaan ini boleh meningkatkan risiko penyakit akibat jerebu. Sebaiknya, elakkan atau tangguhkan dahulu pelaksanaan program fizikal di luar bangunan.

Pada ketika ini, sebaiknya gunakan penutup hidung dan mulut (face mask) yang sesuai apabila berada di luar bangunan dan sila dapatkan rawatan di klinik atau hospital sekiranya mendapati diri tidak sihat.

Khidmat Malaysia juga menasihatkan kepada seluruh rakyat Malaysia agar sentiasa peka dengan bacaan IPU semasa cuaca berjerebu dan mengambil langkah-langkah perlu bagi mengurangkan kesan buruk kepada kesihatan selain tidak melakukan pembakaran terbuka dan mengambil tanggungjawab untuk melaporkan kejadian pembakaran terbuka kepada JAS dan JBPM.

Mengikut bacaan IPU, 0-50 dikategorikan sebagai baik, sederhana (51-100), tidak sihat (101-200), sangat tidak sihat (201-300), berbahaya (301-400), sangat bahaya (401-500) dan kecemasan (lebih 501).

Khimat Malaysia akan terus memantau perkembangan yang sedang berlaku dan akan terus mengemaskini maklumat di dalam laman web rasmi Khidmat Malaysia untuk membantu rakyat Malaysia mendapatkan info terkini.

Khairul Faizi bin Ahmad Kamil, KMN
Ketua Pengarah Khidmat Malaysia

Ulasan