PAS Kedah difitnah dalam isu sorok beras




PAS Kedah tidak akan mengambil ringan tuduhan fitnah yang dilemparkan oleh mana-mana pihak bahawa kononnya PAS Kedah menjadi dalang utama kes-kes melibatkan pembekalan beras seperti yang didedahkan oleh media baru-baru ini.
PAS Kedah berpandangan isu ini telah dijawab oleh YAB Menteri Besar Kedah semalam. Tanggungjawab penguatkuasaan terhadap sebarang isu mengenai pembekalan beras adalah di bawah kuasa Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan.

PAS Kedah tidak pernah terlibat mahupun memberikan sebarang arahan kepada mana-mana pihak untuk melakukan aktiviti ‘hoarding’ sehingga memberikan implikasi terhadap tahap keselamatan makanan negara.

Bahkan PAS Kedah sendiri mendukung prinsip serta kelantangan yang ditunjukkan oleh YAB Dato’ Seri Haji Muhammad Sanusi Md Nor untuk memerangi kartel padi dan beras yang begitu berakar dalam rantaian pembekalan sektor padi dan beras pada hari ini.

PAS Kedah kesal dengan tindakan sesetengah pihak yang tidak bertanggungjawab menuduh penglibatan PAS Kedah dalam isu ini. Apakah mereka cuba untuk mengalih perhatian kegagalan Menteri dalam menangani isu ini?

PAS Kedah memberikan tempoh 24 jam kepada mana-mana pihak yang memfitnah penglibatan PAS Kedah dalam isu ini. Jika mereka tidak meminta maaf serta menarik balik kenyataan fitnah tersebut, maka tunggu tindakan undang-undang yang akan diambil.

Usah baling batu sembunyi tangan!

Sekian, terima kasih.

DATO’ USTAZ AHMAD YAHAYA
Pesuruhjaya PAS Kedah
12 Oktober 2023 / 28 Rabiul Awwal 1445H – HARAKAHDAILY 12/10/2023

Ulasan