PRK Pelangai boleh ubah kedudukan kerajaan Pahang


JELEBU: Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Pelangai mampu memberi isyarat jelas khususnya pengundi Melayu bagi mengubah kerajaan negeri di bawah BN-PH sekarang.

Pengerusi PERIKATAN NASIONAL (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, perubahan boleh berlaku apabila PN berjaya menambah satu lagi kerusi DUN.

Kata beliau sekiranya Pelangai dikuasai PN ia meningkatkan jumlah kerusi PN kepada 18 di DUN Pahang.

“Dengan kedudukan itu bermakna kurang empat kerusi lagi (untuk membentuk kerajaan negeri).. kot kot bangun esok pagi ada ahli yang berhormat Umno kata, ‘eh, aku silap dekat situ..’ masuk jemaah kita.

“Menteri besar kita ada dekat sini, Datuk Seri Tuan Ibrahim, insya-Allah,” katanya pada sesi dialog bersama NGO-NGO Melayu Pahang di Dewan Restoran Faez Tomyam, di sini petang semalam.

Terdahulu, media melaporkan terdapat poster tular dalam media sosial memaparkan Tuan Ibrahim bakal diisytiharkan sebagai Menteri Besar Pahang sekiranya PN menang di PRK Pelangai.

Terdapat juga desas-desus menyatakan sekiranya PN menang di Pelangai terdapat empat wakil rakyat daripada BN akan memberi sokongan kepada PN untuk membentuk kerajaan negeri.

Muhyiddin juga berkata, situasi itu akan menjadi kenyataan apabila pengundi di Pelangai memilih calon PN iaitu Naib Yang Dipertua PAS Bentong, Kasim Samat pada Sabtu ini. – HARAKAHDAILY 4/10/2023

Ulasan