PTPTN : PM kitar semula idea Wan Saiful




KUALA LUMPUR: Mantan Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menyifatkan cadangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, supaya kaedah pembayaran balik PTPTN melalui potongan gaji secara automatik sebagai mengkitar semula ideanya.


Datuk Wan Saiful Wan Jan mendedahkan bahawa beliau mencadangkan pelaksanaan skim Potongan Gaji Berjadual (PGB) pada Disember 2018, tetapi tidak mendapat maklum balas.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Tasek Gelugor berkata, pengumuman Perdana Menteri pada 23 Oktober lalu sebenarnya mengulangi model bayaran balik yang pernah dicadangkan pada 2018.

“Anwar dan Akmal Nasir (Ketua AMK ketika itu) memberikan tekanan kepada saya kerana mereka tidak bersetuju dengan skim potongan gaji berlandaskan PGB yang saya umumkan,” katanya dalam sidang media di Parlimen, hari ini.

Pada 6 Disember 2018, Wan Saiful berkata, Anwar yang ketika itu adalah Ahli Parlimen Port Dickson dilaporkan berkata akan mengemukakan keresahan peminjam PTPTN untuk pertimbangan Menteri Pendidikan dan Pengerusi PTPTN.

“Saya akan beri nota segera pada mereka. Saya nak maklumkan bahawa sepanjang empat tahun saya menjadi Pengerusi PTPTN, nota tersebut tak pernah sampai.

“Sehingga saya sendiri terpaksa mohon jumpa Anwar untuk menerangkan cadangan tersebut beberapa bulan kemudian dan beliau pada masa itu masih tidak setuju atas alasan ia tidak popular,” katanya. – HARAKAHDAILY 30/10/2023

Ulasan