SG4: Kenapa Tun M dilihat begitu bersungguh-sungguh?


BARU-baru ini ada bersembang dengan kawan sekerja berkenaan Tun Dr Mahathir (Tun M) yang dilihat bersungguh-sungguh bertemu dan berbincang dengan State Government 4 (SG4).
Bermula dengan pertemuan dengan Tan Sri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang dan empat Menteri Besar daripada PERIKATAN NASIONAL pada 2 September 2023, dalam tempoh sebulan ini, Tun M sudah selesai menemui empat negeri secara berasingan.

10 September 2023 – Tun M bersama dengan Menteri Besar, EXCO Negeri Terengganu dan pegawai tinggi kerajaan dalam program Bengkel Halatuju Terengganu.

20 September 2023 – Tun M bersama dengan Menteri Besar dan Exco Negeri Kedah di Rumah Kediaman Menteri Besar Kedah.

5 Oktober 2023 – Tun M bersama dengan Menteri Besar dan Exco Negeri Kelantan di Rumah Kediaman Rasmi Menteri Besar Kelantan.

10 Oktober 2023 – Tun M bersama dengan Menteri Besar dan Exco Negeri Perlis di Rumah Kediaman Rasmi Menteri Besar Perlis.

Dalam tempoh sebulan sahaja Tun M yang dianggap sebagai penasihat SG4 telah selesai bertemu dengan barisan kepimpinan negeri-negeri SG4.

Ini menunjukkan keseriusan dan komitmen tinggi yang diberikan oleh Tun M. Persoalannya adalah kenapa Tun M bersungguh sangat?

Akhirnya, semalam kita menemukan jawapannya, apabila Tun M memberikan satu Pengakuan Nasional.

Kata Tun, “Saya mengaku saya bersalah, di waktu saya menjadi Perdana Menteri saya daripada parti yang bermusuh dengan parti yang berkuasa di Pantai Timur. Saya tak tumpu pada Pantai Timur, saya tumpu pada Pantai Barat saja.”

Ini merupakan satu pengakuan yang berjiwa besar daripada seorang tokoh besar negara. Sebagai rakyat Pantai Timur dan ahli PAS sudah pasti pengakuan bersalah Tun ini mengundang rasa sebak.

Menariknya, Tun tidak berhenti di situ. Tun menyambung lagi dengan mengatakan;

“Ini masa saya fikir saya kena balaslah dosa dan kesalahan saya dahulu tak tolong Pantai Timur pasai dia dari parti PAS, saya tak suka parti PAS, pasai itu saya tak tolong mereka.”

Bila Tun mengungkapkan kesalahan beliau dahulu dengan istilah ‘dosa’, menggambarkan Tun mula menyesali apa yang telah beliau lakukan dahulu.

Tun menyambung lagi, “Tapi sekarang ini saya bersama mereka dan saya harap, saya boleh lah sedikit sebanyak dengan pengalaman yang ada pada saya boleh bantu mereka capai kejayaan.”

Sebagai untuk menebus dosa dan membalas kesalahan yang Tun lakukan itu, maka dengan masa yang berbaki Tun berharap segala pengalaman yang ada dapat dapat membantu SG4 dan seterusnya menebus kesalahan beliau.

Jadi, jika ditanya kenapa Tun M bersungguh sangat bersama dengan SG4, maka diatas inilah jawapannya. Taubat Nasional.

AHMAD FAHMI MOKHTAR
Projek Anak Muda Islam (PAMI) – HARAKAHDAILY 12/10/2023

Ulasan