Skandal beras: ‘Kejadian SPRM kata tu berlaku 2016’


ALOR SETAR: Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor menegaskan pihaknya akan mengambil tindakan undang-undang kepada mana-mana pihak atau individu yang menyebarkan kononnya skandal beras di Kedah ada kaitan dengan kerajaan negeri, anak syarikat dan pemimpinnya.

Justeru, katanya para netizen sama ada siber trooper yang memuatkan berita palsu itu di media sosial atau lain-lain diberi tempoh 24 jam untuk memadam, menarik balik atau tindakan undang-undang akan diambil.

“Amaran ini juga termasuk kepada wartawan yang menulis dan syarikat penerbitan yang menyiarkan laporan tergantung serta memberi gambaran salah kepada orang ramai.

“Sekiranya mereka gagal berbuat demikian dalam tempoh yang diberikan, saya akan arahkan peguam memburu semua yang terlibat dan mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka,” jelasnya pada sidang media di Wisma Darul Aman, hari ini.

Menurutnya, tindakan seumpama itu untuk memberi pengajaran kepada orang ramai agar jangan mudah menyebar berita tidak benar sebaliknya bermaklumat sahih, lengkap dan berdasarkan prinsip keadilan kepada pihak yang terbabit.

Jelasnya lagi, selepas Malaysia ditubuhkan, bidang kuasa kerajaan negeri hanya kepada tiga perkara iaitu tanah (dan hutan), ugama dan sumber air, manakala yang lain-lainnya adalah di bawah tanggungjawab kerajaan persekutuan.

Namun berkaitan isu beras tempatan ujar beliau, kerajaan persekutuan seolah-olah menuding pihak lain untuk dikambinghitamkan.

Oleh itu tidak mustahil tambahnya, Kedah menjadi perhatian kerana negeri ini merupakan pengeluar dan penyumbang beras negara.

“Oleh sebab Kedah tanam padi, mata orang ramai tumpu di Kedah, seolah -olah Kedah gagal dalam kawal selia padi dan beras. Sebenarnya semua itu bidang kuasa kerajaan persekutuan terutama Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan,” tegas beliau.

Katanya lagi, beberapa akhbar tempatan semalam melaporkan terdapat skandal beras melibatkan kerajaan negeri dalam satu kontrak yang bernilai RM100 juta.

Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) pula katanya memberi laporan kepada masyarakat tanpa penjelasan sewajarnya maka ia tergantung dan seolah-olah peristiwa itu berlaku semalam.

“Kejadian yang SPRM dok kata tu berlaku pada tahun 2016. Saya waktu tu belum jadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) lagipun. Dok pikul beras hantar ke kem pelarian dalam misi kemanusia di kawasan bencana.

“Kepada siapa ditujukan dakwaan itu? Atas kehendak siapa, saya pun tak tahu. Tapi apa yang saya lihat keghairahan membina spekulasi seolah-olah ketiadaan beras tempatan di Kedah berpunca dari Sanusi menyorok beras,” bidas beliau.

Dalam masa yang sama SPRM dinasihatkan agar tidak mengeluarkan kenyataan akhbar berkenaan perkara yang sudah selesai mahupun belum selesai.

Sekiranya kes itu sudah di peringkat AG maka katanya teruskan pendakwaan dan jangan mengeluarkan kenyataan mengelirukan orang ramai.

“Itu bukan kerja SPRM. SPRM kerja menyiasat, bukan lontar berita untuk dijadikan spekulasi, Patut buat kerja ikut undang-undang mengikut akta sedia ada iaitu Akta SPRM 2009,” ujar beliau lagi. – HARAKAHDAILY 11/10/2023

Ulasan